DALAM pertandingan masakan Resipi Warisan di Gedong baru-baru ini, seorang peserta memberanikan diri dengan menonjolkan pais ikan bauk dan danggit ikan bauk.
Pais ikan bauk seperti pais ikan lain iaitu menggunakan daun pisang atau daun nipah.
Manakala danggit ikan bauk pula dibuat seperti kasam ikan lain.
Namun masakan danggit lebih sedap berbanding pekasam ikan lain.
Bagaimanapun, mungkin ramai yang tidak tahu apa itu ikan bauk.
Ikan bauk merupakan sejenis ikan kecil satu sentimeter.
Sekali imbas ia seperti bubuk atau udang halus.
Ikan ini dipercayai hanya terdapat di Sungai Batang Sadong berhampiran Gedong.
Ikan bauk tidak diketahui ramai, termasuk mereka yang tinggal di kawasan Batang Sadong.

Ini terbukti apabila beberapa peserta pertandingan yang datang dari luar Gedong tertanyatanya tentang ikan bauk, malah ada yang pertama kali melihat pais ikan bauk dan danggit ikan bauk.
Ikan bauk biasanya dimasak secara pais, direbus dengan serai dan dibuat kasam atau danggit.
Rasanya sungguh enak sehinggakan masakan ikan bauk menjadi ‘kegilaan penduduk di kawasan Gedong.
Ikan bauk ditangkap menggunakan dengan menggunakan perangkap yang dinamakan sebagai ‘seliduk’ yang berjala halus.

pertandingan masakan Resipi Warisan di Gedong minggu lalu.
Biasanya aktiviti menangkap ikan bauk dilakukan ketika air ‘meduk’ iaitu bukan musim air pasang besar.
Atau lebih tepat setelah fenomena benak di Batang Sadong berakhir.
Fenomena benak di Batang Sadong berlaku ketika air pasang besar seperti pertengahan bulan atau akhir bulan dalam kalender Islam.
Menangkap ikan bauk mudah, tetapi perlu mematuhi beberapa syarat tertentu.
Ketika proses menangkap ikan bauk, seorang nelayan sungai hanya duduk dalam perahu dengan seliduknya ditahan dalam air menghala ke arah air pasang atau air surut.
Namun beberapa syarat yang perlu patuhi iaitu tidak membuat bunyi bising dalam perahu dan tidak boleh bercakap dengan suara yang kuat.
Menurut beberapa penduduk, jika syarat ini tidak dipatuhi ada kemungkinan kumpulan ikan bauk lari dari kawasan itu.
Untuk menunggu ikan bauk balik atau berada semula di kawasan perahu itu amat payah, malah boleh menyebabkan nelayan pulang dengan tangan kosong.
Seorang nelayan sungai, Pundu Abai, 71, merupakan penduduk Gedong yang aktif menangkap ikan bauk jika keadaan cuaca memuaskan.
Setiap kali menangkap ikan bauk Pundu memperoleh antara 5 hingga 10 kilogram dan dijual dengan harga RM30 sekilogram.
“Bagaimanapun untuk membolehkan orang ramai terutama yang berpendapatan rendah membeli ikan bauk dengan harga yang berpatutan.
Saya membahagi-bahagikan ikan bauk ini ke dalam bekas plastik kecil dengan harga RM10,” katanya.
“Alhamdulillah, setiap kali saya menjual hasil ikan bauk ia laris, malah bekalan tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan penduduk di Gedong,” tambahnya.
Menurut Pundu, menangkap ikan bauk bergantung kepada keadaan air dan cuaca.
Yang pasti, danggit ikan bauk merupakan antara menu utama tetamu istimewa atau orang kenamaan yang berkunjung ke Gedong.