Ikan malang beri rezeki RM950

DARO: “Saya terpaksa berhempas-pulas menariknya ke dalam bot kerana terlalu berat,” kata Zaidol Zainal, 56, yang berjaya menaikkan ikan malang seberat 38 kilogram ketika menjaring di Sungai Semop, pagi semalam.

Ikan tersebut dijual pada harga RM950 iaitu RM25 sekilogram.

Zaidol berkata, dia terpaksa menggunakan segala kudratnya sebelum berjaya menjinakkan gergasi sungai itu selepas setengah jam ‘bertarung’.

Ditemani isteri, Napisah Leman, 54, Zaidol bertolak dari jeti Kampung Semop jam 6 pagi dalam keadaan arus sungai yang tenang.

Menurutnya, ia merupakan antara rutin hariannya sejak menjadi nelayan di kampung tersebut.

“Saya memang menggunakan jaring ikan malang dan pernah mendaratkan ikan berkenaan beberapa kali sebelum ini.

Kebiasaannya selepas beberapa jam, saya menaikkannya semula,” katanya kepada Suara Sarawak.

Zaidol menjelaskan, ketika menaikkan tangkapan terbaharunya, dia dapat merasakan jaringnya agak berat  berbanding biasa.

Malah katanya, dia terpaksa berhempas-pulas apabila jaringnya disentap kuat ketika ditarik ke dalam perahu.

“Saya dapat mengagak ikan malang apabila melihat warna sirip belakangnya yang keputih-putihan.

“Ketika itu, hilang rasa letih.

Saya bersyukur dan gembira dengan rezeki ini,” katanya.

Suara Sarawak