Ikan tilapia merah Batang Ai

SARAWAK melakar sejarah dalam bidang perikanan minggu ini apabila 12 tan ikan tilapia merah Batang Ai dieksport ke Singapura buat pertama kalinya.

Ikan yang diternak di Batang Ai, Lubok Antu dengan perjalanan tiga jam dari Kuching memang amat popular di Sarawak.

Ikan itu digemari kerana diternak dalam keadaan air mengalir menyebabkannya tidak berbau tanah dan cepat membesar.

Ikan ini juga kaya dengan protein apabila sesuai menjadi makanan daripada peringkat bayi lagi.

Dieksport oleh Sea Horse Corporation Sdn. Bhd, ikan yang dibekalkan Borneo Eco Fish berjaya menambat hati syarikat Chin Chung di Singapura.

Syarikat Chin Chung memiliki 56 cawangan di seluruh Singapura menjadikan ikan tilapia merah Batang Ai dikenali pada masa akan datang.

Titik Tolak

Bertitik tolak daripada pertemuan Sea Horse Corporation Sdn. Bhd dengan syarikat Chin Chung pada bulan lalu, kini perdagangan bertaraf antarabangsa itu dapat direalisasikan.

Ia hasil daripada penubuhan Pejabat Pelancongan dan Perdagangan Sarawak di Singapura (Statos) yang terbukti membuka peluang perniagaan kepada pengusaha syarikat mega di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penubuhan Statos pada 16 Ogos lalu membolehkan pengusaha Sarawak bertemu secara langsung dengan pembeli di Singapura.

Sarawak amat bertuah kerana Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berpandangan jauh terhadap industri pertanian Sarawak.

Oleh itu, terdapat peluang untuk generasi muda yang ingin menceburi bidang pertanian moden di Sarawak, kata Uggah.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, Kerajaan Sarawak sedang menjalankan mekanisme sokongan termasuk penubuhan modal teroka, khidmat nasihat teknikal dan kemudiannya mewujudkan pusat kecemerlangan ladang di seluruh Sarawak.

Platform Lonjak Pertanian

Justeru, beliau yakin penubuhan Statos sebagai platform melonjak industri pertanian di Sarawak dan memajukan sektor ini selain membantu kumpulan penternak memaju ekonomi sendiri dan membangunkan ekonomi negeri.

Justeru, golongan muda perlu menyahut seruan Ketua Menteri agar terlibat dalam industri pembekalan makanan di Sarawak.

Pembabitan golongan muda dalam bidang pertanian tentu akan dapat merancakkan lagi sektor berkenaan. Dengan tenaga muda dan pemikiran baharu mereka tentu dapat meningkatkan produktiviti apatah lagi jika kaedah moden digunakan dari segi pengurusan dan penanaman.

Ini menunjukkan adanya penanda aras positif dalam usaha mengubah dan melonjakkan industri pertanian Sarawak. Ini selari dengan matlamat Sarawak menjadikan negeri ini sebagai pengeksport produk makanan menjelang tahun 2030 selain mengguna pakai teknologi moden.

Sementara, petani dan penternak benar-benar diharap dapat mengaut keuntungan lumayan daripada sektor ini.

Suara Sarawak