Ikan yu mercu tanda Pekan Sabtu Oya

OYA: Mulai kelmarin, orang ramai sudah boleh melihat mercu tanda ikan yu dan tukun bebola tiruan di bulatan jalan masuk ke Pekan Sabtu Oya.

Pengerusi Pekan Sabtu Oya Arini Suhaili berkata, mungkin ada yang tertanya-tanya mengenai mercu tanda tersebut dan kenapa ikan yu menjadi pilihan.

“Daerah Kecil Oya adalah sebuah perkampungan nelayan dengan majoriti penduduknya bergiat dalam sektor perikanan sebagai nelayan.

“Ikan yu pula merupakan salah satu spesies ikan yang sering diperoleh oleh nelayan pada setiap hari.

“Ikan ini boleh didapati di Pekan Sabtu Oya, sebuah pasar tani kekal iaitu lokasi nelayan mendaratkan hasil tangkapan mereka.

“Justeru, kegiatan utama penduduk setempat dan hasil usaha mereka itu kita terjemahkan dalam bentuk arca atau monumen seperti ini,” jelasnya.

Arini menambah, tukun bebola pula adalah sebagai replika kepada tukun bebola yang diletakkan di sepanjang perairan Oya oleh pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) yang menjadi tempat pembiakan ikan.

“Kesimpulannya masyarakat luar dari Oya akan dapat memahami bahawa inilah lambang dan mercu tanda untuk Oya sebagai sebuah per kampungan nelayan,” ujarnya.

Arini yang juga sebagai Ahli Majlis Daerah Dalat Dan Mukah (MDDM) men gucapkan terima kasih kepada pihak pasukan SFC Sarawak atas sumbangan serta kerjasama kepada pihak berkuasa tempatan dalam merealisasikan pembinaan mercu tanda itu.