Ikon terbaharu Kuching

KUCHING: Jambatan Sungai Bintangor yang bakal dibina di Jalan Datuk Ajibah Abol di sini akan menjadi ikon terbaharu industri pelancongan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, jambatan itu bakal memaparkan nilai tradisi dan kehidupan penduduk di kawasan itu sebagai sebahagian daripada warisan budaya Sarawak.

“Jadi, saya meminta supaya jambatan yang dibina ini mempunyai reka bentuk lebih sentimental dengan pengangkutan air seperti perahu yang dapat melalui sungai di bawah jambatan ini.

“Ia juga akan membuka peluang aktiviti ekonomi yang lain selain aktiviti sukan air di sini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi di tapak Projek Pembinaan Jambatan Kampung Bintangor di Jalan Datuk Ajibah Abol di sini, semalam.

Tambahnya, pembinaan jambatan baharu itu juga melengkapkan projek pembangunan di kawasan lain termasuk Brooke Dockyard yang dijadikan lokasi komersial.

LEBIH MODEN… Abang Johari ketika melawat tapak projek pembinaan Jambatan Sungai Bintangor di Kuching, semalam. Hadir sama Timbalan Ketua PBB Cawangan Satok Datuk Ibrahim Baki. Foto MOHD ALIFF NONI

“Ini termasuk pembinaan Hikmah Exchange yang akan menjadi bangunan pintar pertama di Sarawak.

“Sebelum ini, laluan di jambatan ini terlalu sempit.

Justeru, Kerajaan Sarawak perlu membangunkan semula jalan dari Jalan Datuk Ajibah Abol menuju Masjid Bahagian hingga ke persimpangan Jalan Haji Mataim,” jelasnya.

Beliau mendedahkan, jambatan sedia ada kini akan dirobohkan bagi memberi laluan pelaksanaan projek pembinaan jambatan baharu.

Bagaimanapun, jambatan sementara dibina bersebelahan tapak projek supaya tidak menimbulkan masalah aliran trafik kepada orang kampung.

Dalam hal berkaitan, ketika ditanya sama ada Sekolah Menengah Chung Hua No 4 di Jalan Haji Taha akan terjejas disebabkan pembangunan itu, jawab Abang Johari, perbincangan sedang diadakan dan salah satu pilihan yang ada ialah membina penempatan semula sekolah tersebut.

“Pengurusan sekolah meminta dipindahkan ke lokasi baharu tetapi perkara itu masih dalam perbincangan.

Kita masih dalam proses mengenal pasti lokasi sesuai.

Saya rasa lokasinya akan diputus pada tahun hadapan,” ujarnya.

Beliau juga mendedahkan, Kerajaan Sarawak turut merancang membangunkan kawasan lain seperti Kota Sentosa, Batu Kawa hingga ke Bau termasuk Petra Jaya.

“Ia merupakan kawasan bandar yang bakal dibangun dengan mengekalkan nilai bandar lama. Kita menghidupkan semula ciri-ciri tradisi yang terdapat di bangunan lama dan perlu dinaik taraf.

“Seluruh pembangunan di Kuching dirancang dengan baik termasuk pengangkutan awam,” tegasnya.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi dan Timbalan Ketua PBB Cawangan Satok Datuk Ibrahim Baki antara yang hadir.

Suara Sarawak