Ikut acuan Sarawak semai perpaduan

DALAT: Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perpaduan akan mengikut acuan Kerajaan Sarawak mewujudkan sebuah unit khas seperti Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor).

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, Menteri Perpaduan Datuk Wira Halimah Mohamed Sadique akan menubuhkan unit yang serupa dengan mengambil Sarawak sebagai contoh terbaik.

“Unifor yang ada di Sarawak kini merupakan satu bukti kukuh bagaimana perpaduan dapat terus dijalin teguh dan usaha penting kerajaan membantu rumah ibadah pelbagai agama di sini.

“Semasa Menteri Perpaduan Malaysia datang ke Sarawak minggu lalu beliau melihat Sarawak sangat harmoni dan perpaduan yang wujud,” katanya ketika berucap pada Majlis Sejambak Kasih di Stadium Perpaduan Dalat baru-baru ini.

Fatimah berharap, agar perancangan sedemikian menjadi kenyataan. “Mereka akan tubuhkan satu unit sama seperti Unifor, sama ada menjadi kenyataan atau tidak, sama-sama kita lihat,” ujarnya.

Dalam majlis tersebut, Fatimah menyampaikan bantuan hamper bernilai RM50 setiap satu kepada lebih 100 penduduk bagi meraikan sambutan Krismas.