Ikut saja etika pakaian sekolah awam Amerika Utara

KUCHING: “Alang-alang, bagus ikut terus sistem etika pakaian sekolah awam Amerika Utara.”

Demikian pandangan Exco Saberkas Sarawak, Datuk Ahmad Ibrahim berhubung kenyataan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad bahawa pelajar boleh memakai apa sahaja warna kasut sama ada coklat, hitam, putih, kelabu dan sebagainya.

Mahathir yang juga pemangku menteri pendidikan berkata tidak akan mengubah dasar pemakaian kasut hitam di sekolah yang diperkenalkan bekas menteri pendidikan Maszlee Malik kerana tidak menganggap ia satu isu.

“Bagus ikut terus etika pakaian sekolah awam Amerika Utara, tidak perlu lagu kita berbeli seragam sekolah tiap tahun yang warnanya ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu biru putih atau hijau putih.

“Dapat rakyat kita berjimat, besar belanja rakyat kita tiap tahun bila berbeli baju dan kasut untuk anak ke sekolah.

“Siapa mahu pakai jubah, baju melayu, gaun, seluar jean, kemeja, Cheongsam terserah asal jangan terlalu seksi dan baju yang tidak mengandungi perkataan rasis atau prejudis dan tidak kotor, selain mesti berkasut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) menegaskan apa yang patut difokuskan KPM adalah untuk mata pelajaran dan ko-kolurikulum sekolah seimbang dengan keperluan zaman sekarang serta dapat melengkapkan pelajar untuk menghadapi dunia baharu.

Tambahnya banyak mata pelajaran dan kurikulum sekarang sudah ketinggalan zaman dan patut diperbaiki.

“Untuk Sarawak, saya secara peribadi merasakan pendidikan perlu memfokus kepada perikanan, pertanian moden, ternakan, minyak dan gas, sivik, teologi (untuk memahami semua agama di dunia), evolusi manusia dan tamadun termasuk alam sekitar…tetapi tidak terhadlah,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap agar KPM menekankan penguasaan Bahasa Inggeris di sekolah kerana ia adalah sangat penting bagi melengkapi anak-anak Malaysia dengan kemahiran dalam bahasa antarabangsa itu.

Suara Sarawak