Ilmu harus dikongsi

MUKAH: Bagi memastikan kerjasama erat terus terjalin dan perkongsian ilmu pengurusan dapat dijayakan, seramai 11 kakitangan sokongan Unit Pentadbiran Politeknik Metro Betong mengadakan lawatan ke Politeknik Mukah (PMU).

Lawatan tersebut diadakan untuk mendapatkan pendedahan mengenai pengurusan dan pentadbiran jabatan dalam pelaksanaan pentadbiran serta penilaian yang cekap.

PMU dalam satu kenyataan menjelaskan, lawatan diketuai Timbalan Pengarah Politeknik METro Betong Yap Tek Chuan itu diadakan untuk berkongsi aspek penambahbaikan pengurusan berkaitan pentadbiran, perolehan, kewangan, perkhidmatan, teknologi maklumat, multimedia dan sukan bersama PMU.

“Antara lain membina hubungan baik antara rakan sekerja, pekerja kumpulan pelaksana dengan kumpulan pengurusan serta profesional dalam pendedahan teknik penerimaan pendapat yang berbeza dan bekerja ke arah mencapai matlamat utama organisasi,” katanya.

PMU turut menjelaskan, aspek pengurusan audio visual dan unit sukan penting dalam meningkatkan mutu perkhidmatan di politeknik.

Terdahulu rombongan lawatan itu mendengar taklimat daripada Pengarah PMU Dullah Muluk mengenai sejarah PMU dan pentadbiran serta menerangankan fungsi setiap jabatan dan kejayaan yang dirangkul oleh pensyarah dan pelajar baru-baru ini.

Menurut Dullah, PMU akan terus komited dalam aspek pengurusan yang cemerlang dan bermatlamat demi kebaikan PMU pada masa akan datang.

Antara tempat yang turut dilawati ialah Unit Pentadbiran, Unit Kewangan, Unit Teknologi Maklumat, Unit Pembangunan dan Penyelanggaran Fasiliti dan Unit Sukan.

Turut hadir Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Politeknik Mukah Iskandar Reduan.