Impak projek rakyat mula dikecapi

KUCHING: Kerajaan Sarawak perlu mempercepatkan pembangunan kemudahan asas dan projek strategik untuk rakyat di negeri ini. Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan melihat projek pembangunan luar bandar khususnya sebagai usaha yang sangat penting dan amanah yang perlu ditunaikan kepada rakyat.

Abang Johari bagaimanapun berkata, Kerajaan Persekutuan tidak memberi keutamaan kepada projek sedemikian selepas mereka mengambil alih pemerintahan negara.

“Mereka tidak mengutamakan projek untuk kesejahteraan rakyat. Oleh itu, Kerajaan Sarawak mengambil pendirian tegas membiayai sepenuhnya semua projek tersebut.

“Misalnya, projek menghubungkan jalan pesisir pantai dengan kos RM5 bilion, projek bekalan air dengan kos RM2.8 bilion, projek bekalan elektrik dengan kos RM2.37 bilion,” katanya. Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi berkata demikian dalam ucapan penggulungannya sempena Persidangan Dun, baru-baru ini.

Abang Johari menegaskan, Kerajaan Sarawak memperjuangkan hak rakyat supaya penduduk negeri ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

“Saya sangat gembira kerana impak pelaksanaan Projek Rakyat mula dikecapi oleh rakyat Sarawak. “Beberapa kawasan yang dahulunya menghadapi masalah air yang kritikal kini mendapat bekalan air bersih dan terawat,” katanya.

Abang Johari menyatakan lagi, beberapa kampung dan rumah panjang juga menikmati bekalan elektrik. “Kawasan terpencil juga berjaya dihubungkan dengan rangkaian jalan dan jambatan.

“Inilah cara kita melaksanakan pembangunan mengikut acuan Sarawak, demi rakyat Sarawak,” tegasnya.

Suara Sarawak