Trending

Impian dan harapan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

BAGI peminat tegar seni bela diri, drama bersiri Warrior yang ditayangkan di HBO Max Astro baru-baru ini sukar dilepaskan.

Banyak aksi menarik walaupun sangat ekstrem dan brutal dengan babak-babak saling berbunuh, menepati latar kisah benar yang berlaku pada 1870 di San Francisco, Amerika Syarikat.

Sebelum mencapai kemerdekaan, kebanyakan rakyat bermata sepet itu menyeberangi lautan untuk meneruskan kehidupan di rantau orang, San Francisco yang dikatakan mampu memenuhi kehidupan yang lebih baik.

Namun apa yang diharapkan tidak seperti yang diimpikan.

Ruparupanya huru-hara di negara sendiri, berterusan hingga ke Barat.

Kehidupan di negara orang asing cukup perit, dan keadaan bertambah buruk apabila ‘China Town Amerika’ yang menjadi lokasi utama kaum pendatang sentiasa ‘panas’.

Ia menjadi sangat tegang kerana penduduk China sendiri yang berbalah melalui tiga kumpulan gangster yang mahu membentuk empayar masing-masing.

Demi nafsu serakah yang menggila, mereka sanggup bermandi darah dan bergadai nyawa sesama sendiri dengan menggunakan senjata tajam.

Pada masa yang sama mereka juga berdepan dengan kerenah pemerintah, orang putih yang sentiasa menindas dengan undangundang negeri dan peraturan yang cukup kejam.

Drama yang menggunakan bahasa Inggeris dan sedikit bahasa Cina itu sudah pun selesai musim ketiga Jun lalu, dan bakal memasuki musim keempat awal tahun depan.

Hasil idea asal legenda seni bela diri dunia, Bruce Lee pada 1973, skripnya diubah suai, namun mengekalkan konsep asal petarung terbaik dalam sejarah itu.

Menonton drama tersebut membawa kita ke abad lalu, meneroka budaya hidup rakyat tiga negara, termasuk Ireland.

Sesuai dengan zaman pramerdeka, kebanyakan rakyat China sinonim dengan penghijrahan, demi sesuap nasi.

Bagi mereka ketika itu, tiada hujan emas di negara sendiri… sama seperti hujan batu di tempat orang.

Dalam keadaan terdesak, mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja, dan keadaan semakin meruncing apabila ketua kumpulan masingmasing lebih mementingkan kekuatan fizikal daripada budi bicara.

Akhirnya sebahagian besar ahli kumpulan masing-masing musnah, hanya tinggal sekelompok kecil.

Mungkin kerana “jiwa Warrior” yang terus meresap ke dalam tubuh rakyat China sebelum merdeka, diterjemahkan dalam bentuk semangat ingin maju pada era merdeka, sehinggalah terbentuknya China sekarang, kuasa besar ekonomi dunia, mengatasi Amerika Syarikat, Jepun serta negara gergasi Eropah, Jerman, United Kingdom, Perancis dan Rusia.

Dengan jumlah penduduk mencecah 1.4 bilion, China kini berjaya membentuk empayarnya bukan sahaja dari segi ekonomi dan teknologi tetapi juga bahasa. Hari ini, kita menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-66.

Jika dikira berdasarkan usia manusia, kita sudah pun melewati era warga emas, yang mempunyai banyak pengalaman dan asam garam kehidupan.

Bagi generasi baharu, segalanya sudah pun tersedia, hasil daripada perjuangan wira-wira terdahulu, sama ada didendang atau sebaliknya.

Yang pasti, tanggungjawab kita sangat berbeza. Generasi kini bukan sekadar hidup di alam nyata, tetapi juga di alam maya, memerlukan kepekaan dan kebijaksanaan, tahu menilai yang mana baik yang mana buruk, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan agama dan kaum.

Realitinya mata pena lebih berbisa daripada mata pedang. Hidup dalam negara merdeka, kita melalui hari-hari tanpa gangguan, tidak seperti negara jajahan yang sentiasa dicengkam ketakutan dan kesengsaraan.

Yang pasti, kisah tragis warga Palestine, terutama kanak-kanak yang diusir dari tanah tumpah darah sendiri cukup menyayat hati.

Malah antara ribuan kanak-kanak, ada yang menjadi tahanan selama bertahun-tahun.

Seorang pemuda yang dikenali sebagai Ahmed, 21, mengalami trauma hingga kini setelah menjadi tahanan tentera Israel sejak berusia lapan tahun hingga berusia 20 tahun.

“Tiada lain dalam doa saya setiap hari selama bertahun-tahun… kecuali keamanan.

Bila lagi kekejaman yang sangat dahsyat ini akan berakhir, ataupun kami memang ditakdirkan untuk sengsara hingga hujung nyawa,” ujarnya.

Bagi Ahmed, tiada lain yang diimpikan kecuali kebebasan dan keamanan. Itu sahaja impian dan harapan beliau… tidak lebih daripada itu. Bagi rakyat Palestine amat sukar untuk membayangkan kehidupan di negara sendiri yang ditakluki.

Ia bagaikan hidup di dalam penjara besar, dihalang tembok pemisah sepanjang 700 kilometer dan berketinggian hampir lapan meter.

Setiap hari atas apa-apa urusan rakyatnya terpaksa menempuhi puluhan, malah hingga ratusan “check point”, gara-gara undangundang tidak masuk akal pihak berkuasa Israel.

Mungkin kerana kesenangan yang kita nikmati sekarang ini membuatkan kita terlupa tentang nikmat besar kemerdekaan, terutama generasi alaf baharu… yang sudah pun menikmati kesejukan pendingin hawa sebaik memecah tangis pertama.

Kemudiannya terdedah dengan kemudahan teknologi, tanpa batas, sambil menikmati permainan ala perang, tidak seperti kanak-kanak di bumi Palestine yang terdedah di medan perang sebenar.

Ketika rakyat di negara kita kerap mendengar dentuman mercun dan percikan bunga api setiap kali musim perayaan, mereka pula terbiasa dengan letupan bom dan tembakan, bagaikan dalam filem aksi, tetapi hakikatnya ia realiti.

Kemerdekaan dan keamanan membolehkan kita, terutama generasi baharu menanam impian dan harapan masing-masing dan wajar diwarisi daripada generasi ke generasi.

Realitinya globalisasi dan teknologi digital merupakan dua elemen utama yang muncul ketika generasi Z dilahirkan, antara tahun 1997 hingga 2012.

Mereka kurang atau tidak begitu memahami tentang sejarah negara bangsa kerana sentiasa dilimpahi maklumat berbentuk hiburan yang boleh diakses pada bila-bila masa.

Malah golongan ini juga gemar menyendiri daripada bersemuka untuk berinteraksi bagi mengetahui lebih lanjut tentang peristiwaperistiwa bersejarah daripada guru atau pensyarah.

Kajian mendapati mereka lebih menyenangi elemen berunsur sejarah yang disajikan melalui platform digital seperti video, yang singkat dan menarik dari segi warna.

Kaedah dalam kelas yang konvensional hanya bergantung kepada slaid pengajaran menyebabkan pelajar generasi Z kurang berminat untuk mempelajari sejarah.

Menjiwai generasi Z bukan bermakna mengikut kemahuan mereka, tetapi seiring transformasi masa kini.

Inilah cabaran memupuk semangat kemerdekaan mereka yang begitu hampir dengan dunia digital, daripada peristiwa bersejarah.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

Mata-mata di jalan raya

SILA patuhi undang-undang peraturan di jalan raya. Dengan keadaan kewangan

Si duri tajam

DURIAN bukan sekadar pemegang takhta raja buah, tetapi juga raja

Kembara luar biasa

BUKAN selalu Yang di-Pertuan Agong melakukan kembara dan perjalanan lebih

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru