ARTIKEL

Renog Rasas, ibu kepada mendiang SN Debra Moset. FOTO RAMIDI SUBARI

Impian Debra sambut Krismas di rumah baharu tidak kesampaian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Rumah baharu yang sedang dikemas untuk sambutan Krismas tahun ini sepatutnya menjadi tempat mendiang jururawat SN Debra Moset berkumpul bersama keluarganya.

Bagaimanapun, impian itu tidak kesampaian selepas beliau terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram.

Sebelum kembali ke Miri untuk bertugas, Debra sempat meminta ibunya, Renog Rasas, 71, membantu mengemas rumah itu, malah merancang untuk meraikan Krismas bersama keluarga di situ.

“Minggu lepas ketika dia balik, dia sangat gembira. Kami masak dan makan bersama-sama, selain menjaga anak-anaknya.

“Kemudian dia beritahu, ‘Mak, saya perlu balik ke Miri dulu. Saya nak bekerja semula.’ Saya jawab, ‘Tak apa, pergilah kerana kamu perlu bekerja,’” kata Renog.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Semadang, selepas jenazah anaknya tiba di kediaman berkenaan pada hari ini.

Menurut Renog, Debra turut menghubunginya sebelum berlepas ke kawasan pedalaman dan meminta beliau terus menjaga anak-anaknya yang selama ini dibesarkan bersama sejak kecil.

“Dia ada mesej saya sebelum pergi. Dia minta saya tolong kemaskan rumah baharu ini kerana katanya kami akan sambut Krismas di sini.

“Dia juga pesan supaya saya terus menjaga anak-anaknya kerana nanti susah untuk kami menghubunginya ketika dia berada di kawasan pedalaman,” katanya.

Renog berkata, Debra kembali ke Miri pada Khamis, 3 September, sebelum menjalankan tugas bersama pasukan FDS ke Long Lellang pada Selasa, 8 September.

Katanya, beliau mengetahui mengenai nahas berkenaan selepas suami Debra menghubungi keluarga kira-kira jam 4 petang pada hari kejadian.

Mengimbas kehilangan anak keempat daripada enam beradik itu, Renog berkata beliau masih sukar menerima hakikat bahawa Debra sudah tiada.

“Esok mereka akan mengebumikannya. Dia anak keempat saya. Sekarang tinggal empat orang anak saya kerana anak kedua juga sudah meninggal dunia,” katanya.

Renog berkata, beliau turut melalui detik sukar ketika menjalani ujian DNA bagi mengesahkan identiti jenazah anaknya.

“Saya sebenarnya mahu bercakap, tetapi setiap kali teringat anak (Debra), saya mesti menangis. Anak-anaknya juga masih belajar.

“Doktor tidak menyarankan saya melihat keadaannya kerana terlalu teruk. Saya sendiri tidak berani melihatnya,” katanya.

Menurutnya, ketika proses pengesahan dilakukan, beliau memberikan sampel darah bagi ujian DNA, namun keadaan kesihatan dan emosinya turut terjejas akibat kejutan yang dialami.

“Saya masih terkejut dengan apa yang berlaku. Anak bongsunya pula selalu menangis memanggil emaknya.
“Dia selalu berkata, ‘Saya tunggu Mami, saya tunggu Mami.’ Dia masih percaya mamanya ada dan masih hidup,” katanya.

Renog berkata, kehilangan Debra amat dirasai keluarga, terutama anak-anaknya yang masih menanti kepulangan ibu mereka.

Rumah baharu yang sepatutnya menjadi tempat keluarga berkumpul pada Krismas ini kini kekal sebagai salah satu kenangan terakhir yang ditinggalkan Debra buat keluarganya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU