
DEMAM Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar bagaikan tiada ubat, sana sini peminat bercerita tentang sukan terbaik dunia itu serta para pemainnya.
Gol demi gol dijaringkan, kerajaan demi keraian lebih-lebih lagi daripada pasukan Brazil disajikan kepada penonton baik di stadium mahupun di rumah.
Tidak kurang juga dengan cerita sensasi yang berlaku di luar padang, baik sebelum sepak mula kejohanan sehingga wisel penamat final.
Dan beberapa hari lagi, kejohanan paling popular dunia itu akan melabuhkan tirainya dan menyaksikan satu pemenang daripada kalangan lapan pasukan yang bertanding di peringkat suku akhir ketika ini.
Ketika kita bersengkang mata menonton perlawanan, ada kalanya kita berfikir pasukan Harimau Malaya akan bermain di kejohanan berprestij itu suatu hari nanti.
Baik pemain mahupun rakyat negara ini mengimpikan Malaysia layak ke kejohanan tersebut, tidak kira daripada peringkat kelayakan atau sebagai tuan rumah.
Mungkin bukan pada kejohanan yang terdekat iaitu pada 2026 iaitu anjuran bersama Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Pun begitu apa salahnya Malaysia bercita-cita dan mempersiapkan pelapis-pelapis muda untuk kejohanan 2030 atau 2034 mahupun kejohanan yang seterusnya.
Kita mengambil contoh negara Belanda yang sebesar negeri Pahang mempunyai kira-kira 17 juta penduduk layak ke Piala Dunia tahun ini.
Pasukan Belanda dibarisi ramai pemain-pemain bintang pada kejohanan ini seperti Virjil Van Dijk, Memphis Depay dan Frankie De Jong.
Di samping itu, negara tersebut mempunyai kira-kira 4,000 kelab bola sepak, baik amatur mahupun profesional.
Meskipun liga bola sepak yang dianjurkan tidak setanding di England, Sepanyol mahupun di Itali namun, kelab-kelab yang ditubuhkan itu telah memastikan Belanda tidak lekang dengan bakat-bakat hebat dalam sukan bola sepak.
Berbanding di Malaysia, kemungkinan terdapat ratusan kelab bola sepak ditubuhkan di negara ini jika mengambil kira kelab bola sepak peringkat kampung mahupun daerah.
Yang pasti, tahap kompetetif dan penganjuran kejohanan bola sepak tidaklah sama tahap seperti di negara-negara Eropah.
Malah, beberapa kelab profesional dalam negara sering ditimpa dengan masalah pengurusan sedikit sebanyak merencat senario bola sepak dalam negara.
Selain itu, ramai lagi batu pertama yang belum ditemui oleh pencari bakat dalam negara sekali gus mengembangkan bakat baharu dalam bidang ini.
Bagaimanapun, tiada berita sedih tanpa berita gembira, tahun ini boleh dikatakan tahun yang menggembirakan peminat bola sepak Malaysia.
Ini kerana Malaysia yang dianggarkan mempunyai 32.7 juta penduduk akhirnya layak ke kejohanan Piala Asia 2023.
Mungkin tidak salah bermimpi bermain di kejohanan Piala Dunia namun kita tidak boleh terlalu bernostalgia mengenang kisah lama.