Impian rakyat jadi kenyataan

SEBUYAU: Walaupun pernah tidak diendahkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH), rakyat di negeri ini cukup gembira apabila Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan untuk menanggung keseluruhan kos pembinaan semua jambatan yang dibatalkan termasuk Jambatan Batang Lupar, kata Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Menurutnya, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi pengubat duka lara yang ditinggalkan oleh kerajaan PH, iaitu Kerajaan Persekutuan sebelum ini. “Saya cukup sedih apabila harapan besar saya terhadap projek pembinaan jambatan ini seolah-olah terkubur.

“Sebagai wakil rakyat, pembatalan projek ini selalu disuarakan di Dewan Rakyat dengan harapan kerajaan pada masa itu dapat mempertimbangkan untuk memulakan semula projek berkenaan… setiap kali bangun untuk berucap, saya tidak ketinggalan menyebut tentang Jambatan Batang Lupar.

“Tetapi sekarang, Alhamdulillah telah terbukti kerajaan GPS komited untuk meneruskan pembinaannya. “Saya mewakili penduduk pesisir khususnya di Parlimen Batang Lupar berterima kasih kepada Abang Johari. “Sesungguhnya beliau sendiri sememangnya tahu akan kepentingan jambatan ini kepada sistem jaringan perhubungan di Sarawak pada masa depan,” katanya kepada Suara Sarawak pada Isnin.

Jelasnya, hari ini (Selasa) impian rakyat bakal menjadi kenyataan dan menandakan bermulanya projek Jambatan Batang Lupar secara rasmi. “Harapan saya cukup tinggi kerana dengan adanya jambatan ini kelak, saya pasti ia dapat mengubah landskap pelbagai sektor di kawasan pesisir khususnya.

“Saya yakin kawasan ini akan menjadi laluan pilihan untuk rakyat bergerak ke daerah-daerah lain di Sarawak kerana masa perjalanan yang lebih pendek berbanding menggunakan laluan biasa. “Oleh yang demikian, pelbagai rancangan akan dirangka bagi merancakkan aktiviti dan tarikan di kawasan ini kelak,” ujarnya.

Berkongsi sejarah rancangan pembinaan Jambatan Batang Lupar, Penasihat di Pejabat Ketua Menteri itu memaklumkan ia bermula daripada permohonan perkhidmatan feri dari Sebuyau ke Triso. Malah tambahnya, ketika mulamula memohon perkhidmatan feri ini, banyak suara-suara sumbang yang kedengaran.

“Tetapi syukur ia diluluskan seperti yang kita lihat dan nikmati sekarang. “Seterusnya, permohonan jambatan ini pula berlaku semasa pemerintahan kerajaan yang diterajui oleh mantan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

“Seingat saya, semasa rangka lawatan kerja Najib ke Sarawak ketika itu, saya ada ‘berbisik’ dengan beliau berhubung permohonan jambatan ini sebelum menaiki helikopter bersama-sama mantan Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem,” katanya lagi.

Suara Sarawak