Imuniti kelompok kunci ekonomi kembali normal

KUALA LUMPUR: Sektor ekonomi boleh beroperasi semula seperti sedia kala sekiranya Malaysia mencapai imuniti kelompok, kata Pengarah Belanjawan Negara, Datuk Johan Mahmood Merican.

Sehubungan itu, beliau berkata rakyat Malaysia dinasihatkan untuk mematuhi jadual vaksinasi COVID-19 yang sudah ditetapkan.

Katanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin amat menitikberatkan aspek kesihatan dengan meningkatkan kapasiti kesihatan awam melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) selain menyegerakan pemberian vaksin.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia untuk memastikan imuniti kelompok dapat dicapai.

“Kerajaan hanya mampu membantu setakat yang termampu (melalui pakej rangsangan) tetapi akhirnya jika ekonomi terus ditutup, bantuan daripada kerajaan tidak dapat membantu atau menggantikan sepenuhnya kehilangan pendapatan itu,” katanya/

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk ‘PEMERKASA+ Bantuan Berterusan untuk Golongan Terkesan’ terbitan Bernama TV, malam tadi.

Pada 31 Mei lalu, kerajaan mengumumkan PEMERKASA+ bernilai RM40 bilion, yang menjadi pelengkap kepada pakej bantuan dan rangsangan ekonomi terdahulu.

Ia mempunyai tiga matlamat utama, meningkatkan kapasiti kesihatan awam dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion, meneruskan agenda Prihatin sebanyak RM33 bilion dan menyokong kelangsungan perniagaan sebanyak RM6 bilion.

Pada masa sama, Johan turut menolak dakwaan bahawa pakej rangsangan PEMERKASA+ hanya memberi fokus kepada golongan B40 manakala kebajikan golongan M40 diabaikan.

“Bantuan yang diberikan adalah dengan objektif untuk membantu mereka yang terjejas iaitu mereka yang dalam kategori pendapatan rendah.

“Saya bukan tidak bersimpati dengan golongan M40 atau T20, tetapi hakikatnya apabila berlaku krisis seperti ini (pandemik), dalam keadaan di mana ekonomi terpaksa ditutup dan tidak dapat dilaksanakan, yang terjejas sekali adalah mereka yang berpendapatan rendah,” katanya.

Katanya, perlu diingatkan bahawa Belanjawan 2021 dan enam pakej rangsangan yang diumumkan sebelum ini, pelbagai bantuan sudah disalurkan kepada golongan M40 dan beliau percaya golongan itu telah mendapat manfaat yang lebih daripada apa yang diperoleh oleh golongan B40 kali ini.

Ditanya adakah perlu bantuan oleh kerajaan dihadkan sehingga satu ketika sahaja dan tidak secara berterusan, Johan berkata pakej rangsangan seperti ini sememangnya bersifat sementara dan hanya diberikan ketika negara dilanda krisis.

“Ia tidak mampu dibuat secara berterusan kerana semua ini dibiayai oleh pinjaman. Pinjaman ini akhirnya perlu dibayar balik. Oleh itu, ia tertumpu pada masa ini, COVID-19, semasa keadaan ekonomi tidak dapat dibuka secara biasa dan ramai yang tidak dapat mencari nafkah,” katanya.

Johan berkata, sejak COVID-19 melanda negara, kerajaan sudah melaksanakan pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM340 bilion.

Katanya, sehingga kini, ia memberi manfaat kepada lebih 20 juta ahli isi rumah dan lebih dua juta perniagaan dengan suntikan ekonomi melebihi RM200 bilion.

Suara Sarawak