Indah, tenang dan dingin tersembunyi di Sungai Rian

SUASANA di sekitarnya nyaman dan dingin meskipun cahaya panas matahari memancar cerah.
Di sekelilingnya pula kedengaran bunyi kicauan burung dan mergastua.

Di tasiknya, air jernih yang mengalir melalui celah-celah batu – dingin dan bersih turun laju menerjah dari Bukit Muas setinggi lebih 5 meter dan mencetus suasana yang benar-benar menenangkan.

Inilah keindahan yang terlindung di Sungai Rian dekat Kampung Kepayang di Ulu Simunjan.

Sungai Rian terletak kira-kira satu kilometer dari jalan utama di Ulu Simunjan dan untuk sampai ke sini, pengunjung boleh menaiki kereta dan motosikal – jalan berturap sepenuhnya.

Tasik Sungai Rian menjadi tumpuan penduduk terutama anak-anak muda di kawasan setempat beriadah setiap hujung minggu dan cuti umum.

SEGAR… Lapau Taguk menangkap ikan di Sungai Rian.

Air tasiknya jernih, putih dan sejuk menarik ramai pengunjung.Menurut Ketua Kaum Kampung Kepayang String Joseph Nayu, hampir setiap hari tasik ini menjadi tumpuan orang ramai.

“Mereka yang datang ke Tasik Sg Rian bukan sahaja dari Ulu Simunjan, tetapi juga dari Simunjan Proper, Gedong, Serian dan Kuching.

‘’Pengunjung bukan sahaja mandi-manda dan beriadah tetapi turut mengadakan aktiviti memanggang ikan, udang dan makanan. Ia menjadi lokasi untuk berkongsi kegembiraan,’’ katanya kepada Suara Sarawak di Ulu Simunjan.

Joseph berharap usaha dilakukan untuk membangun dan menyediakan infrastruktur yang diperlukan di kawasan berkenaan.

Baru-baru ini sekumpulan pegawai kanan dan ahli Majlis Daerah Simunjan mengadakan lawatan bagi meninjau serta merangka cadangan membangunkan tasik Sungai Rian.

Sementara itu, Ketua Kaum Kampung Kepayang Berangan Lihang Damang berkata, kawasan Sungai Rian perlu dibangunkan bagi menjamin keindahan semula jadinya terus terpelihara.

Beliau juga mencadangkan agar flora dan fauna yang terdapat di kawasan ini dipelihara supaya tidak pupus, sebaliknya diperhebat agar lebih ramai orang luar mengunjunginya.

“Menarik di Sungai Rian dan air terjun dari Bukit Muas yang berhampiran ialah airnya tidak pernah kering meskipun berlaku kemarau panjang.

“Malah air bersih di sini digunakan oleh penduduk melalui sistem graviti,” katanya. Seorang penduduk Lapau Taguk berpendapat, jika Sungai Rian dibangunkan, ia akan memberi tempias kepada Kampung Kepayang untuk menarik pelancong dari dalam dan luar negara.

“Sungai Rian menjadi salah satu destinasi pelancongan yang menggerakkan aktiviti ekonomi penduduk di kawasan Kepayang.

“Apabila kawasan ini sentiasa dikunjungi ramai pengunjung, penduduk melakukan aktiviti perniagaan secara kecil-kecilan seperti menjual produk pertanian, kraf tempatan dan beberapa produk cenderamata.

“Saya bersetuju supaya infrastruktur di kawasan tasik Sungai Rian dibangunkan. Ini bukan saha-ja menjadikan kawasan Sungai Rian cantik, bersih dan menarik tetapi mampu meletakkan Kampung Kepayang dalam kelendar destinasi pelancongan menarik di negara ini,” katanya.

Kampung Kepa yang String dan Kampung Kepayang Berangan yang diduduki masyarakat Iban masing-masing mempunyai sekitar 100 penduduk.

RIADAH… Pemandangan di Sungai Rian

SUNGAI RIAN

Suara Sarawak