BAGI memutuskan rantaian penularan Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk fasa satu dan dua sudah dilaksanakan. Mulai hari ini, PKP fasa ketiga diteruskan hingga 28 April depan.
Bermakna, ada tambahan 14 hari lagi untuk masyarakat terus duduk di rumah. Sepanjang tempoh 28 hari penguatkuasaan PKP, pelbagai ragam masyarakat dapat disaksikan.
Ada yang sentiasa ingkar dengan berkeliaran walaupun ada sekatan jalan raya. Kata orang Sarawak, masih lagi terkayo-kayo tanpa hala tuju.
Ada pula yang memuat naik video pelbagai ragam di rumah. Semuanya untuk hiburan semata-mata. Dalam banyak video atau gambar yang dikongsikan, paling terkesan apabila melihat kesediaan masyarakat menyediakan makanan bukan sahaja kepada petugas hospital, polis dan tentera yang membuat sekatan jalan raya, tetapi kepada sesiapa sahaja.
Pelbagai kisah serta gambar ketika menghantar bantuan dikongsikan di media massa dan media sosial. Hinggakan, ada yang maut disebabkan lemas apabila perahu panjang mereka karam selepas menghantar bantuan makanan.
Selain itu, ada yang terpaksa dikuarantin gara-gara mengagihkan makanan kepada penerima yang kebetulan disahkan positif Covid-19. Paling menyentuh hati, satu cerita seorang bapa yang sanggup mengayuh basikal semata-mata untuk mengejar sebuah kereta yang menghantar makanan kepada penerima yang sudah dikenal pasti.
Bapa itu bertanyakan tentang bantuan makanan yang boleh diberikan kepadanya disebabkan dia, isteri dan anaknya sudah terputus makanan. Si bapa tadi pulang hampa kerana tidak mendapat makanan. Makanan sedia ada sudah disediakan kepada penerima yang sudah ditetapkan.
Pun demikian, keesokan harinya wajah bapa itu ceria apabila menerima makanan daripada petugas yang ditemui hari sebelumnya. Pastinya lega dan rasa puas kerana si bapa tadi dapat membawa balik bungkusan makanan untuk keluarganya. Itu hanya satu cerita.
Banyak lagi cerita tentang masyarakat yang terputus makanan akibat tidak dapat bekerja. Mereka tiada wang dan sabar menunggu wang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak. Sebab itu, dapat dilihat ramai yang berpusu-pusu ke mesin ATM semata-mata untuk mengeluarkan wang yang disumbang kerajaan.
Sepanjang tempoh PKP ini, dapat disaksikan bukan sedikit yang berkongsi rezeki. Tidak usah bercakap tentang bantuan makanan daripada kerajaan kerana setiap hari bantuan diagihkan hingga ke luar bandar. Organisasi bukan kerajaan kini ligat membeli, membungkus dan mengagihkan makanan kepada kumpulan sasar.
Begitu juga individu yang mempunyai rezeki lebih untuk dikongsi dengan orang lain. Inilah rakyat Malaysia. Sentiasa sahaja bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Diharapkan keligatan membantu dan menghulur tangan ini diteruskan pada masa akan datang. Ini kerana masih ramai lagi yang begitu memerlukan bantuan kerana ada yang tidak mempunyai pekerjaan. Jika ada pun, hanya mampu menyara keluarga dengan gaji harian.



