ARTIKEL

Indeks harga besi, simen tunjuk peningkatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Indeks harga seunit bagi besi dan simen menunjukkan peningkatan di kebanyakan kawasan negara ini termasuk Sarawak, setakat awal tahun ini berbanding tahun lepas.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata indeks harga seunit besi merekodkan peningkatan antara 0.4 hingga 3.3 peratus, dengan yang tertinggi dilaporkan di Perak sebanyak 3.3 peratus, diikuti oleh Pahang dengan 0.8 peratus dan masing-masing 0.6 peratus di Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Kuching.

“Purata harga seunit besi terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 ‘high tensile deformed bars’ adalah RM3,664.51 bagi setiap tan dengan peningkatan iaitu satu peratus berbanding bulan sebelumnya RM3,629.77 per tan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Manakala, Mohd Uzir berkata harga seunit simen pula mencatatkan sedikit peningkatan antara 0.7 hingga 12 peratus bagi tempoh Januari 2023 hingga Januari tahun ini di semua kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Beliau menambah, perbandingan bulanan mencatatkan indeks seunit harga simen kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan Semenanjung, Sabah dan Sarawak pada Januari lalu.

Baca lain  Abg Jo rasmi Konvensyen GPS

“Sedikit peningkatan dalam indeks harga simen bagi kawasan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis masing-masing dengan 0.8 peratus dan Terengganu serta Kelantan (0.5 peratus).

“Peningkatan tertinggi bagi indeks harga seunit simen dicatatkan bagi Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dengan 12 peratus, diikuti Terengganu dan Kelantan masing-masing 11.8 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, laporan global meramalkan bijih besi mempunyai permulaan yang baik untuk tahun ini dengan kenaikan harga dan import yang kukuh oleh China.

Menurutnya, laporan itu menyatakan China sebagai pengguna terbesar dunia bahan mentah itu dijangkakan akan memberikan rangsangan untuk meningkatkan permintaan.

“Menurut laporan Global Steel Outlook 2024 oleh Fitch Ratings, tinjauan global bagi sektor keluli pada 2024 adalah neutral kerana pasaran keluli sebahagian besarnya akan seimbang dan dalam keadaan yang lebih baik berbanding setahun.

“Laporan itu turut menjangkakan sektor pembuatan, industri automotif dan infrastruktur, terutamanya yang dikaitkan dengan peralihan tenaga, akan kekal sebagai pemacu permintaan utama,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU