‘Indi Awang, Indi Asung’ tema Gawai Sarawak 2019

KUCHING: ‘Indi Awang, Indi Asung’ atau ’Sehati Sejiwa’ dipilih sebagai tema sambutan Perayaan Gawai Peringkat Negeri Sarawak 2019 yang akan dianjurkan oleh masyarakat Bidayuh di negeri ini.

Tema tersebut dipilih Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Michael Manyin Jawong di sini semalam.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pada tahun ini aktiviti perayaan telah ditambah bagi mencerminkan keaslian sambutan gawai di negeri ini berbanding sebelumnya, yang hanya bersifat majlis makan malam peringkat negeri.

“Bagi menyerlahkan aktivitinya, perayaan gawai di peringkat daerah akan dipromosikan sebagai elemen pelancongan selari dengan Kempen Melawat Sarawak 2019,” katanya.

Jelas beliau, aktiviti bergawai turut diadakan di kampung-kampung terpilih, terutama di kampung-kampung yang mempunyai inap desa.

“Aktiviti ini dimulakan di Rumah Panjang Annah Rais, Padawan (31 Mei hingga 1 Jun); Rumah Panjang Pueh, Lundu (31 Mei hingga 2 Jun 2019); Kampung Duyoh Jagoi, Bau (31 Mei) dan Dewan Suarah Bau (22 Jun), manakala di Rumah Panjang Kampung Pichin, Serian (29 Jun 2019) turut dilangsungkan majlis penutupan Gawai 2019,” katanya.

Uggah menambah, kemuncak Perayaan Gawai Peringkat Negeri ialah Majlis Makan Malam Gawai 2019, yang akan dilangsungkan pada Sabtu, 15 Jun depan bertempat di Hotel Imperial, Kuching.

“Majlis tersebut dijangka dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg.

“Pada majlis tersebut, sebanyak 10 meja akan disediakan untuk para pelancong dan akan diselaraskan oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak (MTACYS) dan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB),” ujarnya.

Suara Sarawak