KUCHING: Dua individu di sebalik penipuan skim tawaran pembinaan rumah tidak wujud sehingga melibatkan kerugian RM3 juta di sini akan dibicara di mahkamah.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, perbicaraan kes terbabit akan dibuat di Mahkamah Miri, November depan.
Katanya, pertuduhan ke atas kedua-dua suspek dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri pada Mac yang lalu.
“Pasukan khas telah ditubuhkan untuk memastikan siasatan sepenuhnya ke atas semua laporan polis yang terlibat di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Mohd Azman menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim serta wakil pengadu bagi menyerahkan surat dan dokumen berkaitan bagi kes penipuan pembinaan rumah.
Katanya, Hishamuddin telah memaklumkan terdapat beberapa laporan polis yang telah dibuat berhubung penipuan pembinaan rumah di Sarawak oleh sebuah syarikat pelaburan hartanah.
Beliau berkata, modus operandi syarikat terbabit yang telah menjalankan kegiatan sejak 2019 menawarkan tiga skim kepada mangsa.
Tambahnya, kebanyakkan mangsa mendapat maklumat dengan melayari Facebook berkenaan tawaran pembinaan rumah daripada syarikat suspek.
“Pertama, suspek menawarkan skim pembinaan rumah di atas tanah sendiri. Kedua, suspek menawarkan untuk mencari tapak dan membina rumah kepada pembeli.
“Manakala ketiga, suspek menawarkan skim pelaburan berkonsep hartanah dengan meminta mangsa membayar dalam jumlah tertentu dan menjanjikan pulangan dividen,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang berminat telah berjumpa dengan suspek yang kemudiannya memberitahu kepada mangsa akan mencari pemaju dan kontraktor untuk membina rumah tersebut.
Jelasnya, mangsa yang terpedaya telah membuat bayaran secara tunai dan pemindahan wang kepada akaun bank syarikat suspek.
Katanya, mangsa sedar ditipu setelah mendapati tiada pembinaan oleh syarikat suspek sehingga kini.
Sehubungan itu, Mohd Azman menasihatkan orang ramai agar tidak melayani tawaran pembinaan rumah di media sosial tanpa semakan kesahihan.
“Beritahulah pasangan, rakan atau ahli keluarga anda tentang tawaran yang diterima.
“Selain itu, orang ramai turut disarankan agar tidak mudah percaya dengan apa-apa tawaran pembinaan rumah daripada individu atau syarikat yang tidak dikenali.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang bayaran kepada individu atau syarikat berhubung dengan urusan pembinaan atau pembelian rumah tanpa menyemak kesahihannya,” katanya.
Beliau berkata, pihak polis sentiasa memberi keutamaan dalam menurunkan kadar jenayah khususnya bagi kes-kes penipuan yang berlaku.
Katanya lagi, penglibatan dan kerjasama dari masyarakat juga amat penting bagi sama-sama membanteras gejala jenayah penipuan dari terus berleluasa.