ARTIKEL

Senator Datuk A. Kesavadas

Individu ingin mohon kewarganegaraan Malaysia perlu dinilai kefasihan Bahasa Melayu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Dalam Negeri disaran agar bersama-sama memainkan peranan menilai tahap kefasihan bahasa kebangsaan setiap individu yang ingin mendapatkan taraf kewarganegaraan secara naturalisasi.

Senator Datuk A. Kesavadas berkata penilaian itu perlu dilakukan tidak kira siapa pun individu yang terlibat, sama ada selebriti, ahli perniagaan mahupun pemain bola sepak profesional.

“Mereka yang mahu mendapatkan kewarganegaraan ini seharusnya mahir berkomunikasi dan menulis asas bahasa kebangsaan. 

“Apa guna jadi rakyat Malaysia tapi tidak boleh bertutur dengan baik dalam bahasa kebangsaan?

“Tidak malukah kepada pekerja asing yang boleh bertutur fasih dalam bahasa kebangsaan seolah-olah merekalah rakyat negara kita?” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara semalam.

Senator Michael Mujah Lihan pula mencadangkan agar Kementerian Perpaduan memfokus kepada program yang menjurus ke arah menyatupadukan rakyat dengan penganjuran program kebudayaan, kesenian dan warisan.

“Ini adalah satu langkah baik dalam memastikan kita sama-sama memahami sejarah, agama, kaum dan adat resam sesuatu budaya.

“Ia harus dikekalkan dan disemai dalam jiwa kita sebagai sebuah rumpun perpaduan yang lebih segar, sesuai dengan peredaran masa,” katanya.

Pada sesi sama, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff mengucapkan tahniah kepada Kementerian Perpaduan yang sebelum ini mencadangkan agar lafaz ikrar Rukun Negara dibaca secara penuh di setiap sesi pembukaan penggal Parlimen.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu sentiasa memperbaharui ikrar untuk membina jati diri kenegaraan. Semangat kenegaraan dengan nilai-nilai Rukun Negara adalah amat penting untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum,” katanya yang turut meminta kerajaan merangka satu dasar ke arah memperkasakan perpaduan rakyat.

Titah sulung Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 pada 26 Februari lepas menzahirkan peringatan, nasihat dan pandangan dalam pelbagai topik, antaranya keperluan merangka dasar kukuh perpaduan negara, isu karenah birokrasi serta kestabilan politik. – BERNAMA

BERITA LAIN

Lelaki parah dipijak gajah di Gerik

IPOH: Seorang lelaki cedera parah akibat dipijak gajah di Tugu Peringatan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat Gerik, malam tadi. Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar

Zii Jia sertai skuad negara ke Piala Thomas 2024

KUALA LUMPUR: Persoalan mengenai penyertaan pemain profesional negara, Lee Zii Jia, dalam skuad Piala Thomas 2024 terjawab hari ini apabila namanya diumumkan dalam barisan pemain

BERITA TERBARU