Individu tanpa warganegara tidak boleh masuk PPV sesuka hati

KUCHING: Pendekatan suntik dahulu, daftar kemudian hanya boleh dilakukan untuk rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan luar bandar serta mempunyai masalah pendaftaran MySejahtera dan capaian internet yang lemah.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing berkata, individu tanpa status kewarganegaraan tidak boleh masuk ke mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan berharap mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

“Bagi daerah yang berhampiran sempadan, vaksin hanya akan diberikan kepada mereka yang tidak memiliki dokumen lengkap setelah diteliti oleh agensi yang relevan.

“Ia termasuk pejabat residen dan pejabat daerah, penghulu, tuai rumah, ketua kampung atau wakil rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya, perkara itu perlu kerana kerajaan memahami bahawa terdapat individu yang dilahirkan di Sarawak tetapi masih belum mendapatkan dokumentasi yang lengkap.

“Kami juga tidak mahu menafikan hak mereka untuk menerima vaksin yang sangat diperlukan ketika ini,” ujarnya.

Masing dalam pada itu mengingatkan para aktivis sosial dan badan bukan kerajaan (NGO) memperbetulkan fakta mereka sebelum membuat andaian mengenai prosedur operasi standard (SOP) vaksinasi di Sarawak.

Suara Sarawak