Indonesia harus pastikan ulama bukan ancaman selepas dibebas

CANBERRA: Indonesia harus memastikan ulama radikal yang disyaki dalang pengeboman Bali 2002 tidak menimbulkan lebih banyak keganasan apabila dia dibebaskan dari penjara minggu ini, menurut laporan Reuters memetik Menteri Luar Australia Marise Payne.
Abu Bakar Bashir dipenjarakan pada 2011 kerana mempunyai kaitan dengan kem latihan militan di wilayah Aceh, Indonesia.
Beliau dianggap pemimpin kerohanian bagi rangkaian Jemaah Islamiyah (JI) yang dikaitkan dengan Al-Qaeda, yang dituduh mengatur pengeboman kelab malam di pulau peranginan Bali.
“Kedutaan kami di Jakarta menyatakan dengan jelas kebimbangan bahawa individu seperti itu seharusnya dihalang daripada menghasut orang lain untuk melakukan serangan pada masa depan terhadap orang awam yang tidak bersalah,” kata Payne dalam satu kenyataan.
Bashir, 82, menafikan terlibat dalam pengeboman di Bali. Seorang peguam untuk Bashir tidak memberi jawapan segera apabila diminta memberi komen pembebasannya, yang dijadualkan Jumaat ini.
Pengeboman di Bali mengorbankan lebih 200 orang, termasuk sejumlah rakyat Australia. Operasi JI juga dituduh mengatur serangan ke atas hotel JW Marriott di Jakarta yang membunuh 12 orang pada 2003.
Bom untuk kedua-dua serangan tersebut dipercayai hasil buatan sendiri oleh pegawai operasi JI. Payne mengatakan Australia memberitahu Indonesia untuk memastikan dia tidak lagi membahayakan orang lain.
Menurut Reuters, Payne mengatakan Australia memberitahu Indonesia untuk memastikan dia tidak lagi mendatangkan bahaya kepada orang lain.