JAKARTA: Indonesia telah menjemput semua negara anggota ASEAN untuk membincangkan Wawasan ASEAN Pasca 2025 dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan, lapor Agensi Berita ANTARA.
“Kami memerlukan masa dan sumber yang seimbang untuk melaksanakan tugas ini dan mencapai sasaran,” kata Penolong Timbalan Kerjasama Ekonomi Wilayah dan Kecil di Kementerian Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Netty Muharni.
Adalah perlu untuk menyelaraskan pelan kerja yang telah disediakan sebelum ini bagi memastikan wawasan ini dapat dipersetujui pada 2025, kata Muharni dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat berhubung mesyuarat Kumpulan Kerja Komuniti Ekonomi ASEAN Pasca Wawasan 2025 baru-baru ini.
Mesyuarat WG Pasca-2025 telah diadakan di Senggigi, Nusa Tenggara Barat, pada 29 Julai lalu yang dihadiri oleh pegawai dari negara ASEAN.
Muharni berkata Wawasan Pasca-2025 ASEAN kini sedang disediakan dan dibangunkan oleh Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Wawasan Komuniti ASEAN (HLTF-ACV).
Beliau berkata lima agenda penting telah dibincangkan oleh kumpulan itu, iaitu pelan kerja untuk menyediakan wawasan dan kedua, pengumpulan input untuk tinjauan bagi memastikan wawasan ASEAN mencerminkan keperluan dan keterangkuman.
Tinjauan itu merangkumi pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi sektor dan ahli akademik hingga orang awam.
Agenda ketiga memfokuskan perbincangan dengan sektor berkaitan.
Muharni memaklumkan perbincangan akan tertumpu kepada topik tertentu mengikut latar belakang setiap pihak berkepentingan.
Sasaran utama perbincangan ialah perniagaan, ahli akademik, institusi antarabangsa, dan orang awam. Juga diharapkan setiap negara anggota ASEAN akan menjalankan perbincangan secara nasional.
Keempat, pelaksanaan kajian ASEAN Pasca 2025, yang dijalankan secara bertema, dengan menilai isu megatrend dan bidang potensi baharu yang perlu dimasukkan di bawah asas ekonomi.
Beliau berkata hasil kajian itu juga dijangka memberi cadangan untuk meningkatkan pembangunan berkesan Wawasan ASEAN Pasca 2025.
Agenda terakhir ialah mekanisme penyelarasan dalam tonggak ekonomi, yang memudshkan proses untuk menyokong penyediaan Wawasan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) Pasca 2025, tambahnya.
Mesyuarat itu juga membincangkan persediaan untuk mesyuarat antara Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Integrasi Ekonomi ASEAN dan Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Wawasan Komuniti ASEAN Pasca 2025 (HLTF-ACV).
Menurutnya, pertemuan secara bersemuka itu akan memfokuskan kepada mekanisme penyelarasan bagi menyokong penyediaan Wawasan ASEAN Pasca 2025 berdasarkan tiga asas utama itu.
“Terima kasih atas dedikasi dan penyertaan aktif semua perwakilan.
Kami telah membincangkan isu penting dan berkongsi maklumat yang perlu dikembangkan lagi dalam wawasan ASEAN pasca 2025,” katanya.
Mesyuarat Kumpulan Kerja seterusnya untuk Komuniti Ekonomi ASEAN Pasca-2025 akan diadakan di Vientiane, Laos, pada 23–24 Februari, 2024. – BERNAMA