Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan dan Komersial) MTIB, Mohd. Kheiruddin Mohd. Rani berkata, nilai eksport pada 2018 kayu gaharu sebanyak RM9.93 juta manakala produk nilai tambah seperti wangian dan agarbati masing-masing pada RM122 juta dan RM22 juta.

“Kita menyasarkan untuk meningkatkan nilai eksport kayu gaharu kepada RM12 juta pada 2020,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Antarabangsa Gaharu, Agarbati dan Wangian di sini.

Beliau berkata, peningkatan eksport tidak akan membawa kepada kemusnahan hutan memandangkan gaharu kini ditanam oleh penanam kecil.

“Mengikut rekod, kita mempunyai 2,234 hektar kawasan penanaman gaharu dengan kira-kira 2.2 juta pokok. Kita perlu beralih kepada perladangan kerana gaharu berkaitan perdagangan adalah dilarang seperti terkandung dalam Appendix II Konvensyen Perdagangan Antarabangsa mengenai Spesis Flora dan Fauna Liar Terancam,” katanya.

Sementara itu, semasa berucap merasmikan persidangan tersebut, Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim berkata, permintaan terhadap produk gaharu semakin meningkat sejak 30 tahun lepas dan kerajaan sedang melaksanakan Pelan Tindakan Pembangunan Karas dan Gaharu 2011-2021.

“Pembangunan industri gaharu di Malaysia telah dilaksanakan sejak beberapa tahun. Pada masa ini Malaysia merupakan negara kelima yang mengeksport produk gaharu selepas Thailand, Indonesia, India dan Vietnam.

“Kerajaan bekerjasama dengan industri untuk menggalakkan pertumbuhan gaharu menerusi pelbagai kajian dan pembangunan produk secara berterusan,” katanya. – Bernama