KUCHING: Kerajaan Sarawak menggalakkan industri hartanah di negeri ini membina bangunan berdasarkan Indeks Bangunan Hijau (GBI).
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata langkah ini akan meningkatkan nilai bangunan dari segi perancangan bandar dan menyediakan persekitaran yang kondusif kepada rakyat.
Pada masa ini, katanya Sarawak sedang melaksanakan pendekatan hijau untuk membangunkan bandar di seluruh negeri ini.
“Dengan perancangan ini, kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan penilai, arkitek dan jurutera supaya terdapat metodologi umum untuk perancangan bandar yang kondusif kepada rakyat,” katanya.
Beliau juga yakin bahawa Asean boleh mempunyai metodologi yang sama dari segi mengakses nilai hartanah.
“Sudah tentu ini bergantung kepada lokasi kerana walaupun anda mempunyai lokaliti yang baik, tetapi persekitarannya tidak kondusif, harga (hartanah) mungkin tidak seperti yang anda jangkakan.
“Apa yang penting kita wujudkan kehidupan (persekitaran) yang kondusif dan baik untuk rakyat.
“Inilah sebabnya perancangan bandar penting di Sarawak kerana ia adalah hasrat kami untuk menjadikan bandar raya kami tidak terlalu sempit, tetapi lebih meluas,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam Gala Kongres Persatuan Penilai Asean (AVA) ke-25 2023 di sini, malam tadi.
Beliau juga menyatakan Sarawak bertuah kerana mempunyai hutan hujan yang bertindak sebagai karbon yang membolehkan mempunyai jalan lain untuk menghasilkan bahan api bersih untuk Sarawak.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di sini minggu lepas, dan beliau meminta saya berkongsi mengenai ekonomi hijau kita dengan Kabinet Persekutuan.
“Mudah-mudahan, kami akan dapat menghasilkan tenaga hijau kerana kami mempunyai kekuatan dan dengan latar belakang itu, kami juga menggalakkan pemaju hartanah kami untuk menghasilkan bangunan GBI kerana ia secara automatik akan meningkatkan nilai bangunan itu sendiri,” katanya.
Menyentuh tentang bagaimana Sarawak melaksanakan ekonomi hijau di mana penekanan diberikan kepada alam sekitar, Abang Johari berkata ini selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) menjelang 2030.
“Ia juga menjadi hasrat kami untuk mewujudkan bandar pintar yang bukan sahaja memanfaatkan kemajuan teknologi, tetapi kami mahu memastikan alam sekitar dijaga pada masa yang sama,” jelasnya.