ARTIKEL

Industri Kuari dan Mineral di Sarawak Mula Pelan Pendigitalan

Industri Kuari dan Mineral di Sarawak Mula Pelan Pendigitalan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memulakan pendigitalan industri mineral dan pengkuarian bagi meningkatkan tadbir urus serta ketelusan sektor berkenaan, kata Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, permohonan kelulusan dan pembiayaan bagi inisiatif itu akan dikemukakan di bawah Rolling Plan 2 (2026), dengan pembangunan sistem dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Katanya, pendigitalan itu akan memudahkan permohonan lesen, laporan pemain industri dan perkongsian maklumat dengan pemegang taruh, selain mewujudkan pangkalan data bersepadu merangkumi sumber mineral dan pemetaan geologi.

“Ini turut meningkatkan pengawasan prestasi industri serta memudahkan pelabur mendapatkan maklumat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran ‘Green Mining and Quarrying Academy’ di Lawas, hari ini.

Awang Tengah berkata, dunia kini berdepan krisis iklim yang menuntut tindakan kolektif bagi menangani pemanasan global dan cuaca ekstrem.

Justeru, katanya, Sarawak komited melaksanakan pembangunan hijau, rendah karbon dan berdaya tahan demi manfaat generasi kini serta akan datang dan sektor mineral dan pengkuarian turut perlu melalui transformasi.

“Sebagai langkah permulaan, dua syarikat kuari iaitu SEDC Resources Sdn Bhd dan Bukit Kerepok Quarry Sdn Bhd telah dilantik sebagai rakan projek perintis kuari hijau.

“Melalui projek itu, kerajaan akan menilai keberkesanan teknologi dalam mengurangkan pelepasan karbon, meningkatkan pengurusan air dan sisa industri serta menentukan bentuk insentif kepada syarikat yang bersedia beralih kepada operasi hijau,” jelasnya.

Beliau menegaskan Kerajaan Sarawak turut mengutamakan pembangunan industri hiliran mineral sebagai usaha menambah nilai ekonomi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat.

“Industri mineral peringkat awal, pertengahan dan hiliran di Sarawak perlu diintegrasikan bagi memberikan nilai tambah yang signifikan kepada industri.

“Seperti yang selalu ditekankan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kemajuan tidak boleh meninggalkan rakyat kita. Setiap industri baharu mesti membuka peluang kepada anak Sarawak dan meningkatkan kehidupan mereka di kampung, rumah panjang dan bandar,” ujarnya.

Selaras pendekatan itu, kata Awang Tengah, kerajaan akan memperketat kawalan eksport bahan mentah.

“Mineral seperti pasir silika, kaolin, emas, kuprum, unsur nadir bumi (REE), antimony serta bahan batuan seperti granit dan batu kapur tidak lagi dibenarkan dieksport dalam bentuk mentah bagi mempergiat industri pemprosesan tempatan,” ujarnya.

BERITA LAIN

Pelaburan RM218.5 bilion cipta 99,030 peluang pekerjaan

PUTRAJAYA: Sebanyak 2,746 projek pelaburan yang diluluskan pada separuh pertama 2026 dijangka mewujudkan 99,030 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia. Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan

BERITA TERBARU