ARTIKEL

Abang Johari (dua kiri) bersalaman dengan wakil dan pengamal media sebaik hadir bagi merasmikan SMEC sempena HAWANA 2024 di sebuah hotel terkemuka di Kuching, sebentar tadi. - Foto: Ramidi Subari

Industri media berdepan dengan cabaran AI generatif

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Industri media perlu mempunyai prosedur dalam mengurus dan mengendalikan apa-apa jenis maklumat yang disampaikan kepada umum, berikutan kemajuan pantas dalam teknologi maklumat yang menimbulkan cabaran kepada industri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata ia khususnya menerusi evolusi Kecerdasan Buatan (AI) generatif, yang boleh mempengaruhi penyampaian sesebuah berita atau maklumat.

“Saya menyarankan agar ada etika yang perlu dipatuhi, yang dicadangkan oleh wartawan dengan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap kemakmuran umat manusia, bukan sahaja untuk negara tetapi juga pihak berkepentingan yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Media Sarawak (SMEC) sempena Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di sebuah hotel terkemuka di sini, sebentar tadi.

Justeru, Abang Johari berharap HAWANA akan dapat menjadi platform untuk para pengamal media membincangkan hala tuju masa depan industri media, khususnya dalam mendepani cabaran AI generatif.

Katanya, ia adalah perlu untuk AI generatif sentiasa dikenal pasti dan dipantau bagi memastikan kesahihan setiap maklumat yang disebarkan melaluinya.

“Apabila kita melihat AI generatif, seseorang yang sudah lama meninggal dunia boleh hidup semula.

“Dari segi penyampaian, di tangan pakar (dalam AI), kita mungkin tidak tahu secara diam-diam sama ada ia (maklumat) sahih atau tidak.

“Jika kita tidak dapat menilai maklumat, apa sahaja yang tidak sahih boleh menjadi sesuatu yang sahih.

“Dengan AI generatif ini, ucapan saya pun boleh diterjemahkan ke dalam bahasa lain seperti bahasa Inggeris atau Mandarin, dan mulut serta wajah saya juga mengikut pertuturan bahasa itu,” katanya.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Komunikasi Malaysia, Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datuk Hii Chang Kee, dan Pengerusi BERNAMA, Datuk Seri Wong Chun Wai.

Abang Johari (depan, tengah) bersama tetamu kehormat lain merakamkan kenangan dengan wakil dan pengamal media yang hadir pada SMEC sempena HAWANA 2024 di sebuah hotel terkemuka di Kuching, sebentar tadi. – Foto: Ramidi Subari

BERITA LAIN

280 individu sertai Larian Amal Rakyat 2.0

KUCHING: Seramai 280 individu telah menyertai program Larian Amal Rakyat 2.0 yang berlangsung semalam. Program larian tersebut anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah

BERITA TERBARU