ARTIKEL

FB: Fahmi Fadzil

Industri media Malaysia perlu ada acuan sendiri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ketua-ketua pengarang di Malaysia mahu industri media di negara ini dibentuk mengikut acuannya sendiri.

Beliau berkata mesej itu disampaikan semasa pertemuan beliau bersama ketua-ketua pengarang industri media di Malaysia dengan Pengarah Biro Asia Pasifik Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) Cedric Alviani di sini semalam.

Menyifatkan pertemuan kira-kira sejam itu sebagai cukup baik, Fahmi berkata ketua-ketua pengarang terbabit turut memohon penjelasan dan penerangan RSF mengenai metodologi serta cara pengumpulan data bagi menentukan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024.

“Harapan saya pertemuan ini dapat mencambah dan menambah jalur perbincangan supaya kita mendapat sedikit maklum balas daripada pelbagai pihak tetapi yang penting, media di Malaysia perlu dibangunkan dengan acuan Malaysia.

“Inilah mesej yang saya terima daripada para ketua pengarang dan terpulang kepada kita untuk membentuk media Malaysia yang kita idamkan,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Fahmi juga berharap pihak media akan terus berkhidmat dengan baik di samping memberikan maklum balas sama ada kepada kerajaan atau badan bukan kerajaan seperti RSF mengenai keadaan di Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sementara Majlis Media Malaysia Premesh Chandran berkata ketua-ketua pengarang industri media berhasrat mengadakan libat urus dengan RSF bagi membolehkan perubahan dilakukan dalam metodologi dan strategi penilaian kebebasan media di negara ini.

Beliau berkata langkah ini mampu mencerminkan keadaan media di Malaysia dengan lebih baik.

Alviani pula berkata beliau percaya indeks kebebasan media adalah alat yang boleh digunakan bagi memulakan perbincangan mengenai perkara itu.

“Perbincangan sudah bermula dan ini adalah sesuatu yang amat positif bagi masa depan kebebasan media di Malaysia,” katanya sambil menambah pertemuan itu adalah satu peluang yang luar biasa bagi membolehkan beliau lebih memahami situasi media di negara ini.

Laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang dikeluarkan oleh RSF bulan lepas menunjukkan kedudukan Malaysia jatuh 34 anak tangga ke tempat ke-107 berbanding ke-73 pada tahun lepas. — BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU