Industri pelancongan kerugian RM45 bilion

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menganggarkan industri pelancongan dan kebudayaan negara mengalami kerugian sekitar RM45 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini akibat pandemik Covid-19.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pelancongan antara sektor yang paling teruk terjejas dan dijangka paling lambat untuk pulih.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (Dosm) bagi April 2020, kadar penggajian menguncup sebanyak satu peratus kepada 14.93 juta orang berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Antara yang paling teruk terjejas ialah tenaga kerja dalam sektor perkhidmatan seperti penginapan, makanan dan minuman, seni, hiburan dan rekreasi,” katanya pada sidang media yang diadakan selepas sesi pertemuan bersama-sama pemain di BCCK, di sini semalam.

Katanya, atas sebab itu Malaysia membuat keputusan meluluskan pembukaan sempadan negara ke Singapura dan Brunei.

Nancy berkata, bagaimapun pembukaan sempadan itu melibatkan pembukaan dua hala kerana kedua-dua pihak perlu meluluskannya.

“Mereka mempunyai kriteria dan kita mempunyai kriteria sendiri. Apa yang paling utama ialah memastikan negara itu selamat untuk rakyat datang melawat dan melancong.

“Kita bersandarkan kepada garis panduan yang ditetapkan oleh KKM dan juga WHO, kita juga mengenal pasti negara-negara yang kategorikan sebagai kawasan hijau,” katanya.

Tambahnya, ketika pihaknya meluluskan beberapa negara untuk menggunakan cara travel bubbles dan mengenal pasti negara seperti Australia dan New Zealand.

“Dalam mengenal pasti negara-negara ini, Jepun dan Korea juga tersenarai tetapi ketika itu masih ramai yang positif Covid-19.

“Kita berpegang kepada panduan WHO dan menemui cara paling cepat untuk membaik pulih ekonomi pelancongan dengan membuka sempadan,” jelasnya.

Beliau mendedahkan, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah masih berbincang dengan beberapa negara dan mereka juga boleh memberikan pandangan kepada kerajaan dan sebagainya.

“Ia termasuk dengan mana-mana negara yang boleh dibuka untuk rakyat datang melawat atau melancong,” katanya.

Nancy juga mengulas mengenai cuti persekolahan yang dipendekkan hujung tahun ini, beliau melihat ia tidak begitu menjejaskan sektor pelancongan.

“Kini, sudah ramai rakyat pergi melancong dengan pelancongan domestik dan bercuti di Pulau Redang, menaiki feri dan sebagainya.

“Ada juga yang menghantar gambar kepada saya dan menyahut seruan untuk pelancongan domestik,” ujarnya.

Nancy menjelaskan, ia membuktikan bahawa ramai rakyat sudah tidak sabar untuk keluar dan tempat yang mempunyai daya tarikan yang akan dikerumuni oleh orang ramai.