ARTIKEL

Industri perumahan dalam aliran mengembang di bawah Bajet Sarawak 2024

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Industri perumahan juga akan berada dalam aliran mengembang di bawah Bajet Sarawak 2024, yang memperuntukkan sebanyak RM12.363 bilion sebagai komitmen Kerajaan Sarawak untuk terus memperkukuhkan komitmen dalam mempercepatkan pembangunan tanah dan rakyat Sarawak.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata di bawah belanjawan yang dibentangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 20 November lalu, satu daripada teras strategiknya adalah membanteras kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan bajet sebanyak RM105 juta untuk pelaksanaan 17 projek Rumah Mampu Milik di Kuching, Limbang, Miri, Betong, Mukah dan Sarikei, menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Makan Malam Tahnan dan Anugerah Kecemerlangan Persatuan Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam tadi.

Selain itu, katanya sebanyak RM122 juta telah diperuntukkan kepada Mutiara Mortgage and Credit Sdn Bhd untuk menangani isu pembiayaan akhir yang melibatkan pembeli rumah B40 dan M40, dengan sejumlah kira-kira RM84 juta telah diluluskan pada Ogos 2023 dan RM54 juta, dikeluarkan.

Abang Johari menambah selaras dengan perubahan iklim dan agenda hijau, tumpuan juga diberikan kepada projek pembaharuan bandar, dengan kawasan kejiranan dan/atau bangunan sedia ada tetapi kurang digunakan boleh digunakan semula menjadi ruang yang dinamik, aktif dan boleh digunakan.

“Amalan peremajaan hartanah ini untuk menyokong pertumbuhan ekonomi, mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan penghuni dan komuniti,” katanya sambil menambah, sebanyak RM601 juta telah diluluskan untuk 16 projek pembaharuan bandar di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Dalam pada itu, Abang Johari turut meramalkan lebih banyak perubahan positif kepada industri perumahan dalam masa terdekat selepas lulusnya satu pindaan bersejarah kepada Ordinan Elektrik di DUN awal minggu ini.

Katanya undang-undang baru itu akan membenarkan pemilik rumah memasang panel solar di atas bumbung untuk menjana elektrik tidak melebihi 50KW tanpa memerlukan lesen untuk kegunaan domestik.

“Lebihan tenaga elektrik boleh dijual semula ke grid sekali gus memberi peluang kepada pemilik rumah memperoleh pendapatan tambahan serta menambah sumber tenaga hijau untuk Sarawak Energy sebagai pembeli tunggal,” katanya.

Justeru, beliau berkata industri perumahan perlu menghasilkan reka bentuk rumah baharu untuk menyokong pemasangan panel solar sebagai tambahan kepada konsep reka bentuk hijau inovatif yang lain.

Turut hadir Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Presiden SHEDA Augustine C.H. Wong.

Abang Johari berucap pada Majlis Makan Malam Tahnan dan Anugerah Kecemerlangan SHEDA di BCCK, malam tadi

LAIN-LAIN BERITA

BERITA TERBARU

Pencalonan Anugerah Sastera Negara kini dibuka

KUALA LUMPUR: Pencalonan bagi Anugerah Sastera Negara Ke-16, khusus untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan tertinggi bertaraf negara kepada tokoh sasterawan, kini dibuka mulai semalam hingga

Meruked lancar muzik video baharu

KUMPULAN muzik tempatan Meruked melancarkan single dan muzik video terbaharu mereka berjudul Kining Posah pada Jumaat ini.  Menurut vokalis, Syed Ashraf Edruce, Kining Posah bermaksud

Tarikan ekopelancongan burung walit

AKTIVITI EKONOMI dan keusahawanan penduduk kampung mampu dibangun dan diperkasa melalui pembangunan Projek Ekopelancongan Burung Walit Kampung Merembeh. Projek tersebut membuka peluang pekerjaan baharu dan