ARTIKEL

Industri sawit: Malaysia, Indonesia buat persiapan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia sedang membuat persiapan bagi misi dua hari ke Brussels mulai 30 Mei untuk mendapatkan penjelasan berkaitan perkembangan di Kesatuan Eropah (EU), khususnya pelaksanaan Peraturan Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR) yang menjejaskan industri sawit.

Malah, selain dua negara tersebut, Honduras turut menyatakan komitmen untuk menyertai misi bersama tersebut, kata timbalan perdana menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Fadillah Yusof.

“Misi ini bagi mendapatkan penglibatan Suruhanjaya Eropah (EC). Ini kerana walaupun Malaysia dan Indonesia telah melakukan semua inisiatif dari segi melindungi alam sekitar, industri minyak sawit sebaliknya terus berdepan cabaran akibat halangan yang dikenakan oleh pihak EU,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Menteri-Menteri ke-11 (MM11) Majlis Negara-Negara Pengeluaran Minyak Sawit (CPOPC).

Fadillah turut menegaskan selain inisiatif, dua negara pengeluar utama minyak sawit itu juga telah mematuhi semua amalan baik setimpal piawaian antarabangsa.

“Kita mahu menyampaikan mesej jelas dan tegas bahawa minyak sawit sebenarnya memberi banyak sumbangan, terutama dari segi pematuhan kepada Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu menangani isu kemiskinan yang telah kita capai.

“Oleh itu, apa juga tindakan yang diambil oleh EU tanpa rundingan dan tanpa melibatkan kita, sudah pasti akan memberi impak kepada pekebun kecil,” katanya.

Misi itu akan turut menumpukan aspek cadangan undang-undang lain yang sedang dipertimbangkan oleh EU seperti peraturan buruh paksa, arahan tuntutan hijau dan arahan tenaga boleh diperbaharui II yang memerlukan perhatian pihak berkepentingan dalam industri minyak sawit.

Bagi pasaran Malaysia, EU merupakan 9.4% daripada jumlah eksport negara ini atau menyamai 1.47 juta tan minyak sawit.

“Ini satu angka besar dengan beberapa syarikat turut bertindak membuka kilang penapis di Eropah. Berikutan itu, EUDR boleh dianggap sebagai halangan dagangan yang memberi impak langsung kepada operasi serta perniagaan jangka panjang,” katanya.

Menurutnya, minyak sawit juga terbukti menjadi antara penyelesaian bagi memastikan jaminan keselamatan makanan terutama dengan konflik geopolitik di Eropah, perang Rusia-Ukraine dan komoditi itu menjadi alternatif dalam rantaian bekalan makanan.

“Pekebun kecil menyumbang kira-kira 40% daripada pengeluaran minyak sawit global. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita bukan sahaja untuk melindungi, tetapi turut memperkasa mereka dengan ilmu serta mekanisme yang betul,” katanya.

Malaysia mempunyai hampir 450,000 pekebun kecil dan kerajaan perlu memastikan sumber pendapatan mereka terus dilindungi.- Bernama

BERITA LAIN

Kertas siasatan kes pembunuhan Nur Farah hampir siap

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung kes pembunuhan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Farah Kartini Abdullah kini hampir siap dan dijangka diserahkan kepada Timbalan Pendakwa

BERITA TERBARU