Ingat Kawi Li, ingat bertih jagung

KOTA SAMARAHAN: Anas Popcorn berhasrat untuk meluaskan lagi perniagaan yang dijalankan bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada orang awam.

Pengasasnya, Kawi Li berkata, tindakan itu sejajar dengan misi asal penubuhan perniagaan itu untuk membantu masyarakat setempat.

“Kebanyakan pekerja kami penduduk kampung yang tinggal di sekitar kawasan ini.

“Setakat ini, kami mempunyai 19 pekerja yang memproses dan membungkus bertih jagung untuk
dijual,” katanya sempena lawatan Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana ke kilang Anas Popcorn di Jalan Meranek, Kota Samarahan, di sini.

Menurutnya, dia dan pasukannya menyasarkan lebih RM4 juta jualan bertih jagung tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Perniagaan bertih jagung yang mulai bertapak pada tahun lepas itu, turut dikatakan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan.

Selain itu, perniagaan Anas Popcorn mempunyai lapan ejen tetap diikuti 800 pengedar di seluruh Sarawak.

“Kami akan memastikan setiap ahli pasukan Anas Popcorn dapat mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Untuk itu, kami sentiasa mengadakan perbincangan dan

sesi perkongsian antara ahli pasukan sebagai langkah untuk memperbaiki kelemahan diri masing-masing,” katanya lagi.

Terdahulu, Kawi dan isteri menjalankan perniagaan kecil-kecilan sejak 2015 dengan menjual pelbagai produk di pasar malam.

Kini, mereka berjaya membuka sebuah kilang bertih jagung milik persendirian di sebuah bangunan yang masih disewa.

Suara Sarawak