Ingatan luar biasa si cilik

SIFAT ingin tahu atau meneroka perkara baharu sememangnya normal dalam kalangan kanak-kanak dan tidak dinafikan pengalaman kanak-kanak mungkin agak berbeza.

Bagaimanapun, si cilik Aadra Fatihah Mohd Zulkarnaen mempunyai kelebihan tersendiri walaupun berusia 5 tahun.

Kelebihan yang dimiliki si cilik itu ialah kemampuan menghafaz 52 surah al-Quran dan juz Amma seawal usia 4 tahun. Kelebihan itu memberi semangat dan inspirasi kepada ibu bapanya apabila memiliki anak berusia muda mempunyai memori yang kuat.

“Aadra mampu mengingati dengan hanya sekali melihat atau mendengar kerana memiliki ingatan yang kuat,” kata ibunya Siti Aishah Ramli.

Selain itu, Aadra dikatakan sangat cenderung mendalami subjek Matematik yang juga salah satu subjek kegemarannya.

“Setiap hari terutama selepas mandi, Aadra pasti mengulang kaji pelajaran,” ujar Siti Aishah.

Menariknya, Aadra juga mampu menyelesai masalah Matematik Tahun Satu dan Tahun Dua.

“Bagi saya, kemampuan dimiliki Aadra merupakan perkembangan positif dan dia juga mampu menguasai Matematik tahap tinggi,” jelas Siti Aishah.

Menurutnya, Aadra juga seperti kanak-kanak lain gemar menghabiskan masa menonton televisyen dan bermain gajet pintar.

“Keseimbangan antara akademik dengan sosial sangat penting termasuk pendedahan kepada teknologi maklumat.

Siti Aishah juga sangat menitik keseimbangan kedua-dua aspek tersebut dalam mendidik anak.

Menariknya, si cilik itu sudah pandai menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp disebabkan sudah pandai mengeja.

Selain itu, Aadra juga mempunyai bakat terpendam dalam lakonan dan tidak menghairankan si cilik itu terpilih dalam video dedikasi untuk petugas barisan hadapan.

Berbakat

“Aadra juga berbakat dalam bidang muzik dan mampu bermain biola,” kata ibunya.

Tambah Siti Aishah, Aadra juga berminat dalam bidang dandan rambut malah bercita-cita mahu menjadi pereka rambut.

“Mungkin dia belum mengerti maksud cita-cita, namun kami sebagai ibu bapa sentiasa mendoakan terbaik untuk dirinya,” kata Siti Aishah.

Malah, Siti Aishah juga berharap anaknya dapat berbakti kepada masyarakat pada masa hadapan.

Ketika ditanya teknik dan rahsia di sebalik kelebihan Aadra, Siti Aishah menjawab tiada apa-apa teknik spesifik.

Displin Dalam Mendidik Anak

“Saya cuma mengamalkan rutin harian serta mendidiknya agar berdisiplin mengikut jadual yang diaturkan oleh saya,” katanya.

“Disiplin merupakan kunci utama dalam mendidik dan membentuk keperibadian anak agar mereka menjadi individu berdikari.

Tambah Siti Aishah, Aadra bukan kanak-kanak luar biasa tetapi istimewa di hati mereka.

“Dia juga seorang patuh dan mendengar kata orang tuanya.

Yang penting, Aadra perlu mengenali sikap dan personaliti selain membimbing menentu hala tujunya.

Suara Sarawak