KUCHING: Menjadi seorang pesakit Covid-19 tidak mudah malah lebih mencabar ketika umat Islam menyambut ketibaan Ramadan serta tidak dapat menjalani ibadah puasa bersama-sama keluarga tercinta. Kisah salah seorang pesakit dijangkiti wabak ini mungkin mampu membuka mata masyarakat yang berada dalam situasi sama.
“Pada mulanya, saya ingatkan batuk biasa sahaja kerana suhu badan masih normal. Tidak sangka, rupa-rupanya saya positif Covid-19,” kata Rafedah Yaman ketika dihubungi Suara Sarawak baru-baru ini.
Rafedah yang bekerja sebagai pembantu awam agensi kerajaan menganggap batuk yang dialaminya batuk biasa tetapi ia tidak sembuh untuk beberapa hari. “Malah saya mula mengalami pening kepala, menggigil, sakit sendi dan sakit badan selama tiga hari sebelum diarah menjalani calitan,” ujarnya.
Kata ibu kepada dua anak tersebut, pada masa sama, dia wajib menjalani calitan berikutan suaminya kontak rapat rakan sekerja yang disahkan positif.
Hasil ujian itu, Rafedah, suami dan anaknya berusia 18 tahun disahkan positif serta diarahkan menjalani kuarantin. “Apa yang saya alami sangat menyakitkan. Kekuatan emosi dan mental dalam 10 hari pertama memainkan peranan yang sangat penting melawan penyakit ini,” katanya.
Wanita berusia 40 tahun itu berkata, dalam tempoh berkenaan dia perlu mengambil makanan tambahan dan inisiatif sendiri termasuk meniup semangat jiwanya untuk segera sembuh. “Belum lagi stigma sesetengah masyarat. Mungkin ada yang takut untuk menerima wang tunai dari tangan saya dalam urusan jual beli”, tambahnya.
Manakala, kongsi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Muhammad Aiman Afiq Nizam, dia berasa takut, gelisah dan terkejut ketika disahkan positif Covid-19.
“Perasaan semakin gusar kerana ibu saya juga disahkan positif. Saya sangat bimbang memikirkan keadaan ibu yang mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan gastrik.
“Semoga semua dalam keadaan baik-baik sahaja,” kata anak kepada pembantu taska itu. Aiman merupakan kontak rapat kepada bapa saudaranya yang turut serta dalam gotong-royong di kampung. Katanya, salah seorang penduduk positif terlibat dalam aktiviti gotong-royong itu seterusnya saling menjangkiti.
Aiman mempunyai gejala batuk dan selesema sebelum diarahkan menjalani ujian calitan tersebut. Mengulas berkenaan stigma masyarakat, Aiman berkata, tiada kata-kata negatif yang dilemparkan orang ramai kepadanya. “Tidak ada. Sekarang masyarakat lebih faham dan berpengetahuan luas mengenai Covid-19.
“Bukan seperti awal pandemik. Buktinya, ramai yang memberi kata semangat supaya dipermudahkan, cepat sembuh agar dapat menjalani ibadah puasa dengan tenang. “Doktor menasihati saya supaya minum air dengan kuantiti yang banyak dan sentiasa berfikiran positif supaya cepat sihat.
“Saya dapat berpuasa seperti biasa disebabkan gejala yang saya alami semakin berkurangan dan beransur pulih,”katanya.
Menurut Aiman, sekiranya keputusan saringan kedua menunjukkan negatif, mereka dipindahkan ke pusat kuarantin di Serian sebelum diarahkan pulang ke rumah. Ini sekadar contoh kecil pesakit Covid-19 yang kental menghadapinya dugaan pandemik.
Justeru, diharap masyarakat di Sarawak terus mengamalkan langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan SOP bagi menghadapi pandemik yang mencanak naik kebelangan ini.
Pada masa yang sama, kita harus belajar menghapuskan stigma terhadap pesakit ini. Mereka sebenarnya perlu diberi sokongan terutama segi emosi, jangan takut dan menyisihkan mereka.