Ini peringatan pakar ketika anda mencerap gerhana cincin hari ini

KUCHING: Planetarium Negara akan membawa laporan langsung fenomena Gerhana Matahari Cincin atau Anular bermula jam 10 pagi ini ketika banyak masjid dan di seluruh negara dijadualkan mengadakan solat sunat khusuf.

Fenomena ini berlaku apabila bulan bergerak tepat di hadapan matahari.

Disebabkan ketika itu, bulan berada sedikit jauh dari bumi, maka saiznya sedikit kecil dan tidak dapat menutupi keseluruhan bentuk piring matahari.

Sebagai akibatnya di dalam kawasan atau berhampiran kawasan laluan tengah gerhana ini, matahari akan nampak seperti cincin.

Falak Online, laman astronomi tempatan, mengingatkan orang ramai agar menggunakan kaedah yang betul dan selamat bagi melihat fenomena menakjubkan ini memandangkan pancaran langsung matahari yang dilihat dengan mata kasar amat berbahaya.

“Kena ingat matahari ini amat terang dan amat berbahaya.

“Jangan sekali-kali pandang ke arah matahari tanpa penapis matahari yang betul,” katanya.

Falak Online kata di Taman Negara Tanjung Piai, Johor gerhana matahari cincin dapat dilihat selama 2 minit 31 saat,

“Selain daripada kawasan di atas, seluruh Malaysia dan Brunei, serta sebahagian Singapura akan dapat menyaksikan gerhana matahari separa,” kata Falak Online.

Laluan gerhana cincin ini dijangka bermula dari Semenanjung Tanah Arab, sebelum memasuki selatan India dan Sri Lanka.

Seterusnya ia akan Asia Tenggara merentasi Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina sebelum ia berakhir di lautan Pasifik.