KUCHING: Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dengan kolaborasi inovasi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak menganjurkan Bengkel Pengamal Kecemerlangan Perniagaan.
Bengkel tersebut dianjurkan sempena pelaksanaan intervensi Kecemerlangan Perniagaan di JAIS bermula Jun hingga November 2023 yang diadakan selama dua hari pada 6 hingga 7 Jun lalu bagi memberikan pendedahan awal dalam rangka kerja kecemerlangan perniagaan.
Pengarah JAIS, Khalidi Ibrahim berkata pihaknya sebelum ini melaksanakan inisiatif kualiti seperti ISO, intergriti dan digitalisasi hampir dua dekad dan kini tiba masanya JAIS mara ke hadapan dengan melaksanakan inisiatif kecemerlangan perniagaan.
“Inisiatif ini merupakan satu rangka kerja yang berteraskan nilai dan konsep cemerlang melalui tujuh kriteria yang berpotensi meneraju JAIS ke arah potensi lebih unggul.
“Saya yakin melalui tujuh kriteria utama iaitu kepimpinan, perancangan, maklumat, pelanggan, sumber manusia, proses dan hasil menjadi batu loncatan kepada JAIS untuk mencapai kecemerlangan optimum dan berterusan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sementara, Pengarah MPC Sarawak, Dr Mazlina Shafi’i berkata kecemerlangan perniagaan merupakan rangka kerja sistem pengurusan komprehensif yang dikenali sebagai Rangka Kerja Kecemerlangan Perniagaan Malaysia (MBEF).
Katanya, MBEF berperanan membantu organisasi untuk melaksanakan semakan kendiri seterusnya mengenal pasti kekuatan dan ruang untuk penambaikan sistem pengurusan sesebuah organisasi agar terus cemerlang dan berdaya saing.
“Pada masa ini, kebanyakan organisasi yang mengguna pakai MBEF adalah dari sektor swasta berbanding sektor awam.
Oleh itu, saya berharap agar pelaksanaan inisiatif ini, JAIS menjadi pelopor atau projek rintis bagi menyebar luas MBEF dalam kalangan organisasi awam di Sarawak.
“Saya juga menyeru agar perubahan budaya melalui MBEF ini diterapkan dalam organisasi awam setara dengan sektor swasta seperti di negara-negara maju,” tambahnya.