Inisiatif kerajaan Persekutuan, Sarawak bantu penggiat industri pelancongan hadapi kesan Covid-19

KUCHING: Inisiatif yang diambil oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak untuk mencergaskan industri pelancongan membolehkan para penggiat mengurangkan impak pandemik COVID-19, terutamanya dengan perjalanan udara dunia yang berkemungkinan besar tidak akan pulih sehingga 2024.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Abdul Aziz Husain hari ini berkata dunia kini telah berubah dan sektor korporat terpaksa menyesuaikan diri dengan norma baharu berikutan pasaran dilihat terus diancam oleh pandemik dan kemajuan teknologi baharu.

“Walaupun Majlis Tindakan Ekonomi menjangkakan industri pelancongan Malaysia mengambil masa empat tahun untuk pulih, penggiat industri masih ada harapan untuk menarik minat pelancong terutamanya pasaran domestik dengan menawarkan produk pelancongan boleh jual yang kreatif dan inovatif,” katanya kepada pemberita semasa lawatan ke Kampung Budaya Sarawak di Santubong, dekat sini.

Beliau berkata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada November tahun lepas mengumumkan bahawa SEDC akan menerajui pembangunan produk pelancongan, termasuk pembinaan hotel baharu dan menaik taraf hotel sedia ada.

“Ini sejajar dengan usaha kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan sektor swasta dalam pembangunan pelancongan, iaitu satu daripada empat keutamaan di bawah Rancangan Malaysia ke-12,” katanya.

Abdul Aziz berkata SEDC merancang untuk melabur secara besar-besaran bagi membangunkan semenanjung Damai menjadi satu destinasi pelancongan utama dalam pelan induk pelancongan dan memajukan lokasi tersebut dengan tarikan baharu serta lain-lain inisiatif pembangunan.

Ini katanya, termasuk resort baharu, taman tema, kereta kabel, denai hutan dan kemudahan ‘trekking’, kawasan kesihatan dan kecantikan, marina dan hartanah komersial berharga RM4 bilion yang selaras dengan pelan strategik SEDC untuk menukar kawasan pantai yang popular kepada destinasi pelancongan yang meriah di bawah projek Damai Resort City.

Antara inisiatif kemajuan dan kerja penambahbaikan yang dilakukan oleh SEDC tahun lepas adalah pengubahsuaian dan menaik taraf 239 bilik hotel dan koridor, bilik acara di tingkat tiga dan lain-lain kerja berkaitan di Puteri Wing, Hotel Riverside Majestic, Kuching, katanya.

Abdul Aziz menambah kerja-kerja yang serupa turut dilaksanakan di Hotel Grand Margherita dan pusat beli belah Sarawak Plaza, foyer Sunset Ballroom Resort Damai Beach dan juga di Resort Damai Lagoon dan Spa.– BERNAMA