SIBU: Sebanyak 27 rumah ibadat termasuk gereja dan tokong di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM54,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti serta perkhidmatan kepada komuniti setempat.
Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Kaunselor Kevin Lau berkata, peruntukan tersebut merupakan sumbangan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dengan setiap rumah ibadat menerima RM2,000.
“Sumbangan ini mungkin tidak besar nilainya, namun ia adalah satu sokongan terhadap aktiviti dan perkhidmatan diberikan kepada komuniti. Golongan yang menerima manfaat adalah mereka yang sentiasa diberi perhatian dan dibantu oleh rumah-rumah ibadat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis penyampaian sumbangan yang diadakan di Ibu Pejabat SUPP Sibu, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Kevin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dr Sim atas kesudian menyalurkan peruntukan MRP tersebut.
“Ini merupakan kali kedua sumbangan seumpamanya diberikan kepada rumah-rumah ibadat di kawasan Bawang Assan,” ujarnya.
Beliau berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menjaga kebajikan serta memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di wilayah ini khususnya di Bawang Assan.
Tambahnya, selaras dengan aspirasi Dr Sim, Sarawak kini berada dalam fasa membina kekuatan sendiri termasuk memperjuangkan hak ekonomi dalam sektor perubatan dan pendidikan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi.
“Namun, usaha melindungi keharmonian dan memperkukuh perpaduan melalui kerjasama semua pihak kekal sebagai teras kekuatan Sarawak demi pembangunan lebih maju dan sejahtera khususnya di Bawang Assan,” jelasnya.-TVS




