KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersedia dan terbuka bagi kerjasama daripada lebih banyak pihak industri yang mahu meneruskan inisiatif Payung Rahmah.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata sejak dilaksanakan, inisiatif tersebut mendapat perhatian dan sambutan daripada ramai pihak industri yang secara sukarela menawarkan pakej bersesuaian untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat.
“Sebenarnya tidak perlu untuk kerajaan mewajibkan (syarikat menyertai inisiatif Payung Rahmah).
Inisiatif Payung Rahmah bermula dengan menu Rahmah dan ia mendapat sambutan sehingga hari ini.
“Ada juga pihak bimbang bahawa menu Rahmah hanya bersifat sementara tapi saya yakin dengan program ini, sebenarnya ia terus mendapat dukungan (pihak industri) dan hari ini terbukti AirAsia telah menjadi sebahagian daripada rakan strategik kita dan menjadi keluarga dalam KPDN menangani isu kos sara hidup,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Payung Rahmah dengan airasia Superapp di sini pada Selasa.
Menurut laporan Payung Rahmah KPDN, sebanyak 2,922 pengusaha terlibat dalam program Menu Rahmah; dan 19 pasar raya besar dan pasar raya rangkaian menyertai program Jualan Rahmah setakat 30 Jun, 2023.
Hari ini, airasia Superapp memperkenalkan tiga inisiatif sebagai sebahagian daripada sokongannya terhadap Payung Rahmah KPDN bagi memudahkan perjalanan dan ketersambungan mampu milik rakyat.
Ia ditawarkan selama tiga bulan mulai semalam.
Aairasia Superapp menawarkan promosi RM1 bagi airasia ride di lima kawasan popular terpilih iaitu Putrajaya dan Cyberjaya; Bukit Bintang; Bandar Sunway; Bangsar South dan Mont Kiara — ia tersedia pada setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 12 tengah hari, untuk 3,000 tempahan pertama setiap hari (tertakluk kepada caj minimum tempahan perjalanan bernilai RM5).
Selain itu, setiap tempahan RM1 airasia ride akan diberi peluang menebus Pakej Rahmah Ride, Fly & Stay dengan pengguna airasia ride itu akan menerima kod promosi RAHMAH50 untuk potongan harga RM50 bagi tempahan hotel dan potongan harga RM50 bagi tempahan penerbangan ke manamana destinasi antarabangsa melalui platform OTA (ejen pelancongan dalam talian). – Bernama