Trending

Inisiatif pengurangan saiz lot dagangan Bursa Malaysia dilaksana sebelum hujung tahun – Ahmad Maslan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

JOHOR BAHRU: Kerajaan komited untuk melaksanakan inisiatif pengurangan saiz lot dagangan di Bursa Malaysia sebelum hujung tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata inisiatif itu bakal menjadikan kebolehcapaian atau akses yang lebih mudah kepada saham mewah dan berupaya kepada pelabur runcit di negara ini sekali gus meningkatkan prospek pasaran pada masa depan.

“Ini satu perkara yang menarik, selepas ini pelabur runcit tidak perlu beli satu lot atau 100 unit tetapi mereka boleh beli (bermula) satu, dua unit atau RM50 dan tidak semestinya beribu-ribu ringgit.

“Ia boleh merancakkan dan akan lebih ramai lagi pelabur runcit di luar sana yang mampu untuk membeli…dan saya kira ia satu perkara yang akan memperhebatkan pasaran modal Malaysia,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Bursa Marketplace Fair 2023 anjuran Bursa Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Bursa Malaysia Bhd Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Pada 27 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan membenarkan pengurangan saiz lot dagangan di Bursa Malaysia dengan membolehkan dagangan saham secara pecahan oleh pelabur dalam usaha meningkatkan semula pasaran dagangan Malaysia.

Mengulas mengenai Bursa Marketplace Fair Ahmad berkata program itu merupakan antara usaha memperkasakan gagasan Ekonomi Madani dengan merakyatkan pasaran saham kepada masyarakat supaya ia tidak menjadi satu perniagaan eksklusif, tetapi lebih inklusif dengan ramai pihak boleh memasuki pasaran saham.

Sementara itu, Abdul Wahid berkata sebanyak 28 peratus daripada jumlah purata nilai dagangan harian pada akhir Julai tahun ini, datangnya daripada pelabur individu atau runcit.

“Dalam konteks pasaran saham kita mahu pastikan bahawa pasaran saham ini penglibatannya adalah seimbang termasuk daripada pelabur luar negara, domestik dan runcit.

Sekarang ini kita lihat peningkatan pelabur runcit ke tahap 28 peratus daripada pasaran saham.

Kita ada sekitar 1.4 juta pelabur yang aktif dan daripada itu seramai 191,000 adalah dari Johor.

“Daripada segi pembukaan akaun baharu pula pada tahun lepas seramai 13,800 akaun baharu (pelabur runcit) dibuka dan ia merangkumi 14 peratus daripada 99,600 akaun yang dibuka di seluruh negara…walaupun tahun ini tiada jumlah sasaran yang diletakkan, namun kita berharap ia akan terus meningkat,” katanya.

Bursa Marketplace Fair yang berlangsung dari 9 pagi hingga 7 malam itu menawarkan pelbagai pendedahan dan pengetahuan berkenaan celik kewangan dan pelaburan dengan pelbagai aktiviti diadakan termasuk program Bursa Beginnings untuk kanak-kanak seawal usia lapan tahun selain terdapat kira-kira 20 reruai pameran terdiri daripada rakan kongsi broker. – BERNAMA

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

27 November 2023

Berita Terbaru