Inisiatif, program KPDNHEP disambung semula selepas PKPB ditamatkan

KUALA LUMPUR: Keputusan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kebanyakan negeri dan daerah di seluruh negara memberi peluang kepada sektor perniagaan dibuka semula dan merancakkan aktiviti ekonomi domestik negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata keputusan itu juga membolehkan aktiviti dan inisiatif kementerian diteruskan, seperti Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Program Jualan Malaysia (PJM) yang dilancarkan pada Julai lepas, selain Program Jelajah Francais 2020.

“Kementerian turut giat melaksanakan pelbagai usaha untuk mempromosikan KBBM dan PJM melalui media massa dan sosial sebagai satu suntikan semangat kepada para pengeluar dan usahawan untuk menghasilkan lebih banyak produk atau perkhidmatan berkualiti, dan sudah pasti pada harga berpatutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nanta berkata KPDNHEP juga berbangga apabila siri animasi, Upin & Ipin – Barang Baik, Barang Kita (Episod 14) yang diterbitkan khas bagi mempromosikan KBBM dan PJM merekodkan lebih lima juta tontonan sejak mula disiarkan melalui platform YouTube, minggu lepas.

Jelasnya, usaha itu merupakan pendekatan inovatif kementerian dalam mempromosikan inisiatif berkenaan dalam kalangan rakyat, termasuk kanak-kanak.

Selain itu, katanya semua pejabat KPDNHEP negeri akan menggerakkan inisiatif yang sama seperti Kempen Kembali Ke Sekolah 2021, program bantuan kepada mangsa bencana, program Foodbank kepada Siswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta program pemantauan dan pemeriksaan premis perniagaan.

Bagi kes-kes Tribunal Pengguna Malaysia yang tertangguh, Nanta berkata pelan tindakan juga telah disusun untuk dilaksanakan.

Suara Sarawak