PUTRAJAYA: Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) mengumumkan beberapa inisiatif untuk meringankan beban individu bankrap semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), antaranya penangguhan bayaran ansuran selama enam bulan.
Kenyataan MdI hari ini menyebut bahawa penangguhan bayaran ansuran di bawah Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] akan diberikan kepada mereka bermula 1 April sehingga 30 Sept 2020.
“Bagi bankrap yang tidak berhasrat untuk mengambil inisiatif ini, bolehlah membuat permohonan untuk meneruskan pembayaran di Cawangan MdI yang mentadbir kes kebankrapan berkenaan,” katanya.
Selain itu, MdI berkata individu bankrap berusia bawah 55 tahun turut dibenarkan mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan.
“Permohonan pengeluaran wang caruman tersebut hendaklah dibuat secara terus kepada KWSP,” katanya.
MdI berkata mana-mana pihak yang terkesan dengan PKP dan telah menandatangani perjanjian jual beli dengan Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) atau pegawai penerima dan penyelesai (PPp), mereka boleh memohon penangguhan sehingga enam bulan untuk dipertimbang oleh KPI atau PPp.
Menurut kenyataan itu, ia melibatkan pembelian mana-mana aset individu bankrap yang ditadbir oleh KPI atau PPp bagi pembelian aset syarikat yang digulungkan.
MdI berkata untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian hotline 03-88851065, 03-88851928 dan 03-88851313.
Mereka juga boleh melayari lawan sesawang MdI di www.mdi.gov.my, emel kepada pkp@mdi.gov.my atau melalui laman sosial Facebook Jabatan Insolvensi Malaysia. – Bernama