Inovasi pacu kemakmuran ekonomi

KUCHING: Teknologi dan inovasi merupakan dua faktor utama yang mendorong pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi pada masa depan, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tuan Openg.

Untuk itu menurutnya, Kerajaan Sarawak berusaha memupuk minat anak-anak Sarawak dalam pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) untuk meningkatkan kualiti tenaga kerja serta memaksimumkan kecekapan dan keberkesanan mereka.

“Oleh itu, agenda pembangunan Sarawak adalah untuk memastikan jurang dalam sistem pendidikan kita dapat diatasi. “Kita telah melaksanakan inisiatif untuk memastikan pelajar Sarawak akan mendapat akses kualiti pendidikan yang sama, jika tidak lebih baik dengan rakan sebaya mereka di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Simposium Pendidikan Bahasa Inggeris Sarawak dalam talian pada Khamis.

Kata Abang Johari bagi mencapai tujuan itu, Kerajaan Sarawak mula meningkatkan kecekapan guru dan pemimpin sekolah dalam penyampaian pendidikan, membina semula atau menaik taraf sekolah daif.

“Seterusnya meningkatkan akses bekalan air terawat serta bekalan elektrik 24 jam bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif untuk pelajar dan guru serta menyediakan bahan dan sumber Stem,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan Sarawak juga menubuhkan lima Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak. Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai kepentingan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan anakanak Sarawak.

“Adalah menguntungkan bagi setiap kita untuk terdedah kepada pelbagai bahasa kerana akan terus mengikuti perkembangan teknologi yang pesat.

“Bahasa Inggeris dikenali sebagai bahasa komunikasi antarabangsa dan paling umum di dunia apabila buku rujukan, jurnal ilmiah dan akademik terutamanya ditulis dan dibentangkan dalam bahasa Inggeris untuk kemudahan pemahaman di seluruh dunia,” ujarnya.

Beliau memberitahu, di negeri ini, Kerajaan Sarawak akan terus menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi, selain bahasa Malaysia. “Majikan juga telah lama menyatakan pilihan mereka terhadap graduan yang dapat berkomunikasi dalam bahasa Inggeris adalah tinggi kerana ia adalah bahasa global untuk perdagangan.

“Atas sebab-sebab itu, saya menerima cabaran ketika mantan Menteri Pendidikan Persekutuan memberi Sarawak tugas sebagai negeri pertama di Malaysia yang mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris,” katanya

Suara Sarawak