PEMAIN naturalisasi Natxo Insa dan pemain sayap, Muhammad Safawi Rasid antara barisan pemain kembali dipanggil menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya di Kuala Terengganu, bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa Tier 1, minggu depan.
Insa, yang sering disisihkan sebelum ini boleh menarik nafas lega apabila hanya pernah mewakili negara sekali sahaja pada Mac 2018 ketika skuad kebangsaan seri 2-2 dalam aksi persahabatan menentang Mongolia.
Sementara, kali terakhir Muhammad Safawi atau lebih dikenali ‘Pawi’ menyertai skuad kebangsaan adalah pada Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 selepas tidak dipanggil pada kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di Johor Bahru, Mac lepas.
Empat lagi pemain yang pernah bermain di Piala AFF 2022 kembali disenaraikan pula ialah Mukhairi Ajmal Mahadi, Haqimi Azim Rosli, Azam Azmi Murad serta Lee Tuck manakala Junior Eldstal, Shahrel Fikri Md Fauzi serta penjaga gol, Azri Ab Ghani selain seorang muka baharu, Syahir Bashah, turut dipanggil ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon ke kem latihan tersebut.
Namun, ketua pasukan Harimau Malaya, Dion Cools tidak dapat bersama-sama untuk menyertai kem latihan pusat kali ini kerana melangsungkan perkahwinan manakala 24 pemain lain diletakkan dalam senarai bersedia antaranya dua pemain pertahanan, Quentin Cheng dan Ahmad Khuzaimi Piee serta pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh.
Pan Gon juga mengekalkan 17 daripada 27 pemain dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu di Johor Bahru.
Mengenai ketiadaan Cools, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pemain tersebut sememangnya memohon pelepasan kepada Pan Gon untuk dikecualikan daripada menyertai kem latihan pusat menjelang perlawanan menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea, masing-masing pada 14 dan 20 Jun ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
“Ketua Jurulatih Pan Gon sudah setuju memberi pelepasan kepada Cools, FAM juga sudah sedia maklum mengenai perkara ini sejak beberapa bulan lepas, jadi kita beri kelonggaran kepadanya.
Selain itu, saya fikir pemain lain tersenarai merupakan yang terbaik dipanggil Pan Gon,” katanya pada sidang media majlis pengumuman lanjutan kerjasama antara FAM dan Bank Islam Malaysia Berhad.
Mengenai kerjasama dengan Bank Islam, Hamidin optimis tempoh lanjutan selama tiga tahun lagi itu bukan sahaja memanfaatkan bola sepak negara, sebaliknya dapat menjalinkan kerjasama lebih erat dalam memastikan pulangan atas pelaburan (ROI) membawa manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Kehadiran Bank Islam memberikan satu mesej penting dengan organisasi ini sentiasa menaruh keyakinan tinggi kepada FAM yang sentiasa memberikan potensi serta pendedahan positif bukan sahaja kepada produk mereka tetapi penglibatan mereka dalam pasukan kebangsaan,” kata beliau.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Mohd Muazzam Mohamed berkata pihaknya mengiktiraf peranan penting sukan dalam menggalakkan gaya hidup sihat, membangunkan kemahiran sosial dan menyediakan faedah psikologi untuk masyarakat selain berperanan penting dalam menyatupadukan rakyat.
“Justeru, kami berharap kerjasama ini akan memberi inspirasi serta memperkasakan pemain dan bakat muda dalam mempromosikan sukan yang mementingkan semangat berpasukan, disiplin dan menyokong antara satu sama laim,” katanya.