Insan berhati mulia,  redah api selamat kucing

LIMBANG: Sanggup bergadai nyawa mengharungi api yang sedang marak bagi menyelamatkan kucing peliharaan dari hangus terbakar.

Keberanian tersebut dilakukan oleh Sukardi Kipli, 34 apabila beliau berjaya menyelamatkan lapan ekor kucing peliharaannya semasa kebakaran yang berlaku di rumahnya di Kampung Belading, pagi tadi.

Menurutnya, kebakaran yang berlaku pada pukul tiga pagi itu berlaku dengan pantas sehinggakan beliau hanya sempat menyelamatkan kucing dan kereta miliknya.

“Api marak dengan cepat dan perkara pertama yang saya lakukan adalah menolak sangkar kucing keluar dari perkarangan rumahnya,” katanya semasa ditemui hari ini.

Namun apa yang menyedihkan beliau, seekor kucing kesayangan bernama Mia masih belum lagi ditemui.

“Pada masa kebakaran, kucing tersebut berada di dalam bilik tidur.

“Setelah api padam, saya tidak menemui bangkai kucing berkenaan dan menjangkakan ianya sempat menyelamatkan diri,” katanya.

Difahamkan, sehari sebelum kejadian beliau sepatutnya menyertai pertandingan Kucing Comel yang akan berlangsung di Lapangan Terbang Lama.

Tambahnya, kucing yang berjaya diselamatkannya berjumlah RM15,000 kerana semuanya baka dari luar negara dan mempunyai sijil.

Suara Sarawak