BINTULU: Insentif bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ‘Anak Sarawak’ akan diteruskan tahun ini dengan penambahan peruntukan daripada kerajaan Sarawak sebanyak RM41.84 juta.
Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Lukanisman Awang Sauni berkata, insentif ini akan memanfaatkan hampir 10,000 peminjam ‘Anak Sarawak’.
Justeru beliau berterima kasih kepada Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Kerajaan Sarawak atas pertambahan dana bagi insentif pembayaran balik pinjaman PTPTN anak Sarawak berkenaan.
Menurutnya, ia adalah signal jelas bahawa bantuan itu bukan dibuat secara one-off tetapi merupakan komitmen berterusan kerajaan Sarawak sejak tahun 2020.
“Bermula semalam sebahagian peminjam PTPTN di kalangan anak Sarawak telah menerima bantuan bayaran balik pinjaman PTPTN yang telah selesai membuat pembayaran pinjaman sebanyak 30 peratus secara konsisten.
“Pemakluman melalui email juga telah dibuat oleh pihak PTPTN kepada peminjam yang layak dan semakan secara online juga dapat dibuat di laman sesawang rasmi PTPTN,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambahnya lagi, Abang Johari telah memulakan insentif pembayaran balik pinjaman PTPTN setelah mendengar rayuan pelajar ketika Townhall Anak Sarawak anjuran Sarawak Volunteers tahun 2019.
Bermula 2020 hingga kini, katanya seramai 22,000 peminjam telah menikmati pembayaran balik hutang PTPTN yang berjumlah RM77.99 juta.
“Insentif pembayaran balik pinjaman PTPTN merupakan usaha Premier membantu mengurangkan beban hutang golongan pelajar.
“Tahun ini Kerajaan Sarawak terus komited meneruskan insentif pembayaran pinjaman balik PTPTN Anak Sarawak dengan pertambahan peruntukan sebanyak RM41.84 juta dan akan dinikmati hampir 10,000 peminjam anak Sarawak,” tambahnya lagi.
Justeru, Ahli Parlimen Sibuti itu berharap agar usaha berterusan membantu pendidikan anak Sarawak itu akan terus diperkasakan.
“Sejak 2018 pelbagai aspek pendidikan mendapat perhatian serius oleh YAB Premier seperti pemberian dana RM1 billion Sekolah daif, RM50 juta penyambungan grid elektrik ke sekolah, Insentif Graduan Pulang Sarawak (i-GPS) sebanyak RM600 seorang, insentif yuran percuma di peringkat pra-u di IPT milik kerajaan Sarawak dan terbaru pengwujudkan Dana Kekayaan Berdaulat bagi tujuan simpanan tabung masa depan anak Sarawak.
“Ini semua adalah hasrat YAB Premier pada masa depan memberi pendidikan percuma kepada generasi akan datang,”ujarnya lagi.