Insentif tiada kaitan pilihan raya

MUKAH: Pemberian insentif RM500 kepada penjawat awam persekutuan yang bekerja di Sarawak adalah penghargaan Kerajaan Sarawak atas sumbangan dan jasa mereka membangunkan Sarawak.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, semua ahli kabinet bersetuju dengan pemberian insentif berkenaan yang akan dibayar pada Jun tahun hadapan.

“Sekiranya insentif ini dikaitkan dengan PRN akan datang, ini tidak perlu dikaitkan. PRN memang akan ada dibuat, kerana tempoh penggal perkhidmatan wakil rakyat akan tamat dalam masa terdekat.

Masalahnya cuma kita tidak tahu bila PRN akan diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Suara Sarawak selepas merasmikan Bengkel Pemerkasaan Badan Bukan Berkanun Kerajaan (NGO) Bahagian Mukah, semalam.

Fatimah mengulas ekoran ada pihak yang mengatakan PRN akan diadakan selepas Jun 2020 kerana pemberian insentif itu akan diberikan pada Jun tahun depan.

Jelasnya lagi, jumlah penjawatawam persekutuan di Sarawak kini hampir dua kali ganda daripada jumlah penjawat awam Sarawak.

“Kami melihat pentingnya peranan penjawat awam persekutuan di negeri ini. Mereka bertugas di seluruh Sarawak, terutamanya di luar bandar.

“Kami menghargai jasa dan sumbangan kakitangan ini walaupun mereka di bawah Kerajaan Persekutuan. Ini kali pertama di Malaysia apabila Kerajaan Negeri bertindak sedemikian.

Sebelum ini, hanya Kerajaan Persekutuan memberikan bonus kepada mereka,” jelasnya.

Kata Fatimah lagi, “ada yang mengatakan jumlah yang diberikan juga kurang dibandingkan dengan kakitangan negeri. Ia bukan isu.

Berdasarkan pengamatan saya, di media sosial rata-rata mereka menyuarakan respons positif dan menghargai usaha kami ini.”.