Trending

Insiden serang hendap, julang kepahlawanan Ngalinuh Bala

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

MIRI: Mendiang Sub Inspektor (B) Ngalinuh Bala @ Kilah Atu, 79 yang meninggal dunia di Hospital Miri pada Selasa bukan sebarang perwira.

Mendiang yang lahir pada 1 Januari 1941 merupakan antara enam penerima pingat tertinggi kepahlawanan negara itu dari Sarawak. Lima yang lain ialah Lengku Cina, Rasli Buang, Etim Bijam, Inspektor Reggie Deli dan Datuk Kanang Langkau.

Ngalinuh mendapat pingat tersebut selepas terlibat dalam pertempuran menentang pengganas komunis di Sibu pada 29 April 1972.

Dalam kejadian itu, Ngalinuh yang berpangkat Koperal serta empat anggota pasukannya ditugaskan mengiringi penghantaran bahan letupan dinamit oleh pekerja Jabatan Kerja Raya menuju ke Kuari Mubal di Batu 54 Jalan Ulu Oya di Sibu.

Rombongan ini bagaimanapun diserang hendap gerombolan komunis ketika dalam perjalanan. Insiden berlaku sekitar jam 1 petang.

Ngalinuh memimpin pasukannya untuk bertahan dan memastikan tiada pekerja awam yang cedera, dan bahan letupan yang dibawa tidak dirampas.

Ngalinuh dikatakan beberapa kali menggulingkan badannya dari satu tempat ke tempat yang lain untuk mencari cara mendekati musuh sebelum berjaya membunuh seorang pengganas dan mencederakan seorang lagi.

Beliau sendiri kemudiannya cedera terkena tembakan di paha sebelum kumpulan pengganas berjaya melarikan diri, setelah pasukan bantuan tiba tidak lama kemudian.

Penganugerahan pingat kepada Ngalinuh berlangsung pada 6 Julai 1972 oleh Seri Paduka Banginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Al-Mu’tassimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Pada 1 Januari 1983, beliau dinaikkan pangkat sebagai Sarjan Mejar dan seterusnya pada 1 Januari 1999 sebagai Sub Inspektor sehingga beliau bersara pada 31 Disember 1995. Ngalinuh meninggalkan seorang balu Sinah Ngalinuh Bala, 73, lima anak, sembilan cucu dan seorang cicit.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru