Insiden tiang besi menghempap kereta di siasat
KUCHING: Siasatan terperinci berhubung kejadian kereta dihempap tiang besi semasa menuruni Feri Rambungan akan dijalankankan, kata Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) Datuk Julaihi Narawi.

Menurut Julaihi, kementeriannya sudah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak melakukan siasatan terperinci mengenai kejadian tersebut kerana ia melibatkan nyawa dan keselamatan awam.

“Arahan berhenti kerja telah dikeluarkan serta merta kepada pihak kontraktor selepas kejadian dan sebarang kerja-kerja pembinaan di lokasi tidak dibenarkan sama sekali.

“Dalam pada itu, kementerian akan membantu mangsa untuk mendapatkan tuntutan ganti rugi yang sepatutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Julaihi, beliau bersama Setiausaha Tetap Kementerian MIPD Datu Safri Zainuddin dan beberapa pegawai JKR Sarawak terus melawat lokasi kejadian semalam bagi mendengar sendiri maklumat kejadian dari pihak kontraktor, mangsa serta pengusaha feri.

Terdahulu dalam kejadian 8.30 pagi semalam, sebatang tiang besi penghadang tiba-tiba tumbang dan menghempap bahagian hadapan kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) milik seorang wanita berusia lewat 50-an yang ketika itu dalam perjalanan keluar dari feri.

TAMAT/
Julaihi bersama pegawai kementeriannya dan JKR Sarawak bergegas ke Feri Rambungan sejurus menerima laporan, semalam.

Suara Sarawak