ARTIKEL

Inspirasi Malaysia di mata dunia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BUKU Malaysia di Persada Antarabangsa merupakan sumber yang berharga bagi sesiapa yang ingin memahami pencapaian Malaysia dalam menangani isuisu global mahupun tempatan.

Malaysia telah memainkan peranan yang penting dalam arena antarabangsa, iaitu daripada menjayakan perjanjian perdagangan sehingga menjadi pelopor dalam agenda pembangunan mampan

. Dalam skala tempatan, negara ini telah menghadapi dan menyelesaikan pelbagai cabaran, daripada pengurusan sumber alam sehingga pembangunan infrastruktur.

Semua pencapaian dirungkaikan dalam buku ini untuk memberi inspirasi kepada negara-negara lain dan masyarakat tempatan untuk terus maju ke hadapan.

Seterusnya, buku ini terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu Bahagian I berkaitan dengan Hubungan Luar Malaysia yang memfokuskan hubungan Malaysia dengan negaranegara luar.

Bahagian ini menjelaskan mengenai penglibatan Malaysia melalui hubungan dua hala antara negara sehinggalah Malaysia terlibat dalam menangani konflik antarabangsa.

Bahagian ini turut menyentuh mengenai peranan pemimpin selaku figura penting yang memainkan peranan dalam menentukan hala tuju negara.

Misalnya, kegagalan diplomasi secara tidak langsung akan menyebabkan kegagalan instrumen dasar luar.

Terma dasar luar negara yang dibincangkan di dalam buku ini merujuk dasar-dasar kerajaan terhadap negara-negara lain yang berhubungan dengan Malaysia.

Pembentukan dasar luar Malaysia termasuklah dengan menganggotai pelbagai persatuan atau kesatuan negara-negara di dunia ini seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negaranegara Berkecuali (NAM), Zon Aman, Bebas, dan Berkecuali (ZOPFAN), dan Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEAANWFZ).

Penyertaan Malaysia dalam persatuan dan kesatuan antarabangsa ini mencerminkan komitmen negara terhadap kerjasama serantau, perdamaian, dan pembangunan mampan di peringkat global.

Ini juga memperlihatkan bagaimana dasar luar negara Malaysia yang direka bentuk dengan mengambil kira kepentingan dan hubungan dengan negara-negara lain di dunia.

Di samping itu, buku ini juga merungkai usaha pemimpinpemimpin negara dalam memartabatkan Malaysia di persada antarabangsa.

Hal ini merupakan aspek penting dalam meneroka bagaimana watakwatak utama dalam pentadbiran negara telah menggerakkan Malaysia ke hadapan khususnya dalam arena antarabangsa.

Buku ini juga meneliti langkahlangkah yang diambil oleh para pemimpin Malaysia dalam menggalakkan kerjasama antarabangsa, mempromosikan kepentingan nasional, dan membina reputasi Malaysia di peringkat global termasuklah menyelidik sumbangan individu-individu tertentu dalam memajukan isu-isu tertentu, seperti perdamaian, pembangunan mampan, hak asasi manusia, dan lain-lain.

Selain itu, buku ini boleh memberikan pandangan yang mendalam tentang peranan dan strategi pemimpin Malaysia dalam menjalinkan hubungan luar negeri yang kukuh dengan negara-negara lain, serta bagaimana mereka menguruskan krisis dan cabaran antarabangsa yang berkaitan dengan Malaysia.

Seterusnya, Bahagian II berkaitan dengan Kerjasama Malaysia dengan Negara Luar dalam Pelbagai Aspek yang mengupas isu kerjasama Malaysia dengan negara luar termasuklah manfaat serta risiko yang dihadapi melalui Perjanjian Perkongsian TransPasifik (TPPA).

Pelbagai spekulasi berkenaan perjanjian TPPA ini dan masyarakat hanya boleh mengetahui isi kandungan perjanjian ini melalui dokumen yang dikeluarkan oleh Wikileaks dan dilihat tidak bersifat demokratik.

Selain itu, bahagian ini menyentuh penglibatan Malaysia dalam menangani isu seperti kerjasama serantau dalam menangani isu ancaman sekuriti makanan di Asia Tenggara, perlindungan harta intelek di Malaysia, dan kerjasama masyarakat antarabangsa dalam membantu negara menghadapi bencana banjir.

Bahagian terakhir dalam buku ini, iaitu Bahagian III berkaitan dengan Malaysia dalam Konteks Pemantapan Dalaman Negara yang membincangkan dasar pertahanan negara, pembangunan prinsip berdikari dalam pertahanan negara, dan inisiatif pengkomersialan produk bercirikan teknologi hijau di Malaysia.

Oleh itu, buku ini amat sesuai bagi mereka yang ingin mengetahui dengan lebih mendalam lagi mengenai kejayaan yang telah dicapai oleh negara Malaysia.

TEMA

Buku ini bertemakan semangat cinta akan tanah air, iaitu dapat menaikkan semangat pembaca untuk memperjuangkan tanah air kita di peringkat antarabangsa.

Walaupun Malaysia merupakan sebuah negara kecil berbanding negaranegara lain, namun ia bukanlah penghalang untuk Malaysia memperjuangkan hak dalam memartabatkan kemanusiaan dan kedaulatan sebagai sebuah negara.

Buku ini juga mengajak pembaca untuk berasa bangga dengan perjuangan para pemimpin yang berusaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang disegani.

Selain itu, buku ini mengumpulkan pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh Malaysia dalam menyelesaikan konflik-konflik serantau, baik sebagai mediator (pengantara), penyumbang tenaga, atau pihak yang terlibat secara langsung dalam operasi penjagaan keamanan.

Hal ini juga tidak hanya menunjukkan peranan Malaysia dalam mempromosikan keamanan dan stabiliti serantau, tetapi juga ia menggarisbawahi komitmen Malaysia terhadap nilai-nilai diplomasi, penyelesaian konflik secara aman, dan pembangunan serantau yang mampan.

TINJAUAN UMUM DAN REKOMENDASI

Buku ini sangat sesuai untuk semua peringkat umur kerana penceritaannya yang tersusun serta penjelasan yang mudah difahami.

Selain itu, buku ini juga dilengkapi dengan gambar rajah bagi memudahkan lagi pemahaman mengenai isu-isu yang melibatkan Malaysia.

Secara keseluruhannya, buku ini tidak hanya merungkai kejayaan Malaysia tetapi juga usaha para pemimpin negara dalam memartabatkan Malaysia di persada antarabangsa dengan memberikan gambaran yang komprehensif tentang Malaysia dan telah menjadi pemain penting dalam arena global dan pengaruh pemimpin juga telah membentuk arah dasar luar negara Malaysia.

Sesungguhnya, kebanyakan isu yang dibangkitkan di dalam buku ini merupakan isu-isu yang telah dan dapat menjadikan Malaysia lebih dikenali di seantero dunia.

BERITA LAIN

Tanggungjawab didik anak di rumah

BUKU Pendidikan Anak di Rumah: Penglibatan Ibu Bapa merupakan buku terbitan khas sebagai panduan berguna kepada ibu bapa tentang pendidikan anak-anak di rumah. Penulis menekankan

Ambil tahu tentang leukemia

DALAM benak seseorang, pasti ada persoalan yang terngiang-ngiang mengenai sesuatu perkara dan memerlukan jawapan bagi persoalan tersebut. Persoalan itu boleh timbul dalam pelbagai konteks sama

Emosi cedera

SAYA percaya ketika kita masih kanak-kanak, kita pernah mengalami situasi tidak sabar untuk melangkah ke alam dewasa. Dalam minda kita ketika kecil, sering kali berfikir

Mental celaru selepas bersalin

BUKU Meroyan Jangan Dipandang Ringan menyampaikan kefahaman penulis tentang dunia meroyan khususnya kepada bakal ibu dan pasangannya. Sudah terang lagi bersuluh, gejala meroyan dalam golongan

Selami dunia kanak-kanak melalui puisi

Buku ‘Kumpulan Puisi Kanak-kanak – Bermain Gerimis’ ini menghimpunkan 52 buah karya puisi dengan pelbagai tema yang mempunyai jalinan pengalaman dan pengetahuan tentang dunia kanak-kanak.

Cabaran penulis muda

PRISCA EMPIANG ROBIN BUKU berjudul Aku Novelis Remaja hasil tulisan Iqmal Izzat, 17, mempunyai 171 muka surat dan isu kandungan buku ini dipecahkan kepada tiga

BERITA TERBARU